Australia´s expertise can help improve Malaysian value chain -- Darell [ 47s ago ]

Nelayan guna tonto lindungi aktiviti haram - APMM

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Nurulazme Zakariah (tengah) menunjukkan 'bubu naga' yang dirampas selepas sidang media di pejabat Maritim Kuala Perlis hari ini.
KUALA PERLIS, 12 Julai (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis mendedahkan nelayan-nelayan tempatan di Kuala Perlis menggunakan khidmat tonto bagi melindungi aktiviti mereka menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan termasuk menggunakan pukat yang diharamkan.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata APMM telah lama mengesan isyarat-isyarat yang digunakan itu namun tidak dapat mengambil tindakan sebaliknya hanya boleh meningkatkan rondaan bagi mengekang aktiviti pencerobohan kawasan nelayan pantai.

"Kita kesan perkara ini dah lama. Pada waktu malam mereka (tonto) guna lampu berwarna dari rumah-rumah nelayan di tepi pantai di Kuala Perlis manakala pada waktu siang guna kain berwarna yang dijemur.

“Kita juga dapati tonto menyamar sebagai pemancing untuk memantau dari pinggir laut dan memberi isyarat kepada pelanggan mereka apabila APMM membuat operasi," kata Nurulazme pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya agensi itu mengesan beberapa isyarat digunakan untuk memberi maklumat kepada tekong bot mengenai kehadiran penguat kuasa semasa menangkap ikan.

Katanya para pengusaha bot ikan dipercayai membayar tonto yang didalangi bekas-bekas tekong bot pukat tunda sehingga ratusan ribu ringgit berdasarkan aktiviti haram mereka.

“Saya merayu nelayan-nelayan yang ada maklumat supaya segera melaporkan kepada APMM supaya kita dapat mengambil tindakan bagi menghapuskan aktiviti (haram) mereka,” kata Nurulazme.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu