Elderly woman injured in explosion at home [ 5m ago ]

Tanah kerajaan diceroboh akan diputihkan - Aminuddin

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
JEMPOL, 12 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri akan memutihkan tanah kerajaan yang diceroboh termasuk memberi kelulusan sah kepada pengusaha untuk menyewa tanah tersebut, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata pengusaha yang menceroboh tanah kerajaan diminta membuat permohonan kepada kerajaan secara rasmi bagi mengusahakan tanah itu.

"Kita meminta pengusaha atau penceroboh tanah ini untuk datang ke pejabat tanah berjumpa dengan Pegawai Daerah atau Penolong Pegawai Daerah untuk mereka memohon agar meneruskan penanaman seperti kelapa sawit dan getah.

"Ini disebabkan kita tidak mahu hasil kerajaan terus hilang dan berharap usaha ini akan mendatangkan hasil kepada kerajaan negeri kerana banyak kawasan tanah ini telah diceroboh," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan khas ke atas tanah kerajaan yang diceroboh di sini, hari ini.

Katanya, tanah kerajaan di Felda Lui Selatan seluas kira-kira tiga 1.2 hektar atau 1.6 hektar diceroboh dengan tanaman sawit, getah dan pokok ketum sebanyak 200 pokok.

"Bagaimanapun, pokok ketum telah dimusnahkan oleh penguat kuasa termasuk pondok yang dipercayai menjadi tempat memproses ketum tetapi pokok kelapa sawit dan getah yang ditanam atas tanah itu tidak dimusnahkan.

"Pengusaha tanaman di kawasan tanah pencerobohan tersebut perlu memohon kelulusan yang sah bagi penanaman getah dan sawit yang dilihat dapat meningkatkan hasil kerajaan negeri," katanya.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri tidak membenarkan ketum ditanam di negeri ini biarpun didakwa mengandungi khasiat tertentu dalam bidang perubatan.

"Tindakan menanam, memetik daun untuk dijadikan minuman boleh didakwa mengikut undang-undang sedia ada.

"Selagi kerajaan negeri tidak mendapat maklumat bahawa ketum ini dibenarkan dan tidak mendapat maklumat sahih mengenai khasiat ketum itu, kerajaan tetap melarang penanamannya," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu