Mahkamah rayuan kekal hukuman penjara 25 tahun ke atas dua lelaki lakukan pengeboman [ 8m ago ]

Banglo kolonial di Bukit Bendera tawar penginapan, perkhemahan

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
GEORGE TOWN, 12 Julai (Bernama) -- Peminat ekopelancongan bakal berpeluang meneroka keindahan hutan hujan berusia 130 juta tahun di Bukit Bendera dengan lebih selesa tidak lama lagi, dengan adanya kemudahan penginapan banglo berkonsep kolonial mesra alam, yang bakal menawarkan rumah persinggahan dan perkhemahan.

Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) Cheok Lay Seng berkata proses pengubahsuaian itu meliputi banglo tertua di Bukit Bendera - banglo Hillside dan Tulip House yang terletak di tengah-tengah kawasan hutan hujan itu.

Di bawah projek ini, banglo Hillside yang terletak di Upper Tunnel Road menawarkan empat bilik butik, empat bilik tidur dan mempunyai kawasan terbuka yang boleh menampung sehingga 16 orang iaitu empat orang untuk satu khemah.

"Tulip House, terletak di Summit Road berhampiran Bee Gallery, mempunyai dua bilik. Kapasiti maksimum untuk projek ini boleh menampung 80 orang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kawasan penginapan dan perkhemahan itu yang akan dikenali sebagai, Hillside Retreat Penang dijangka siap akhir Oktober ini dan tarikh pelancaran rasmi akan diumumkan tidak lama lagi.

Cheok berkata selain reka bentuk yang sesuai dengan alam sekitar dan kemudahan yang mencukupi termasuk ruang tamu serta ruang makan, tandas dan bilik mandi, penyimpanan bahan kitar semula dan sistem penuaian hujan, ia turut menawarkan pelbagai ciri mesra alam yang lain.

“Pengunjung berpeluang berbaring di bawah kilauan bintang sambil menghirup udara segar dan melihat keindahan langit, menikmati suasana ketenangan sambil meluangkan masa bersama orang tersayang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata projek itu akan memberi lebih banyak peluang bagi pelancong untuk meneroka permata tersembunyi di bahagian lain di Bukit Bendera dengan meluangkan masa di kawasan peranginan itu.

“Ia juga mencerminkan usaha kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mempromosikan ekopelancongan dan membolehkan seisi keluarga meluangkan masa bersama sambil menikmati keindahan panorama di Bukit Bendera,” katanya.

Dibina pada awal tahun 1900, banglo Hillside adalah antara banglo tertua di Bukit Bendera dan diklasifikasikan sebagai bangunan warisan kategori 11 yang disenaraikan dalam Rancangan Tempatan Bukit Bendera Pulau Pinang 1998 dan Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera 2016.

Banglo tersebut pernah dijadikan rumah rehat untuk pegawai kerajaan British dan kemudian digunakan sebagai rumah rehat kakitangan kerajaan selepas kemerdekaan dan akhirnya terbiar kosong sehingga sekarang.

Tulip House dibina oleh British pada tahun 1920 untuk kemudahan pekerja pada masa itu, dan tempat tersebut digunakan sebagai kuarters kerajaan selepas kemerdekaan. Ia kemudiannya diserahkan kepada PHC selepas tahun 2011 dan ia telah diubah suai pada 2016.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu