Lonjakan harga minyak menguntungkan Malaysia, kata penganalisis [ 10m ago ]

Majikan tidak diwajibkan sedia rumah buat pekerja

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
PUTRAJAYA, 12 Julai (Bernama) -- Rang Undang-undang Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019, tidak mewajibkan semua majikan menyediakan kediaman dan penempatan kepada pekerja mereka, kata Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun menurutnya jika majikan memilih untuk menyediakan kemudahan-kemudahan itu, Akta ini akan menggariskan standard minimun yang perlu dipatuhi mereka.

Merujuk kepada peruntukan yang berkaitan penempatan berpusat, kementerian itu berkata ia adalah senarai bentuk-bentuk kediaman yang boleh dipilih oleh majikan untuk dijadikan rumah pekerja bagi kemudahan para pekerja mereka, selain daripada bangunan bagi tujuan tempat tinggal.

"Undang-undang tidak mewajibkan para majikan untuk menyediakan penempatan berpusat,” menurutnya.

Kementerian itu berkata ketika ini Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 hanya diguna pakai kepada sektor pelombongan dan pertanian.

“Rang Undang-undang baharu bertujuan untuk meluaskan liputan Akta sedia ada, ke semua sektor,” menurutnya.

Difahamkan Kementerian Sumber Manusia mengeluarkan kenyataan ini bagi menjawab dua laporan akhbar tempatan yang bertajuk “Bill for workers tabled” dan “compulsory housing is news to us, say employers”.

Laporan itu antara lain mengatakan bahawa para majikan dalam sektor industri akan diwajibkan untuk menyediakan penempatan berpusat kepada pekerja mereka di bawah rang undang-undang baharu yang dibentangkan di Parlimen semalam.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu