Sabah capai 90 peratus tahap perkhidmatan ICT [ 27m ago ]

Jabatan Pendidikan umum 29 Julai cuti berganti bagi sekolah di Pahang

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
KUANTAN, 12 Julai (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Pahang hari ini, mengumumkan 29 Julai ini sebagai cuti berganti bagi semua sekolah di negeri ini.

Pengarahnya Datuk Dr Tajuddin Mohd Yunus berkata gantian bagi hari persekolahan itu ialah pada 27 Julai (Sabtu).

"Ini berikutan cuti umum sempena Hari Keputeraan dan Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Kerajaan negeri Pahang sebelum ini mengumumkan 30 dan 31 Julai sebagai hari kelepasan am di seluruh negeri, berdasarkan keputusan Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 12 Jun lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata ketetapan itu diambil memandangkan Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Abdullah pada 30 Julai juga merupakan hari pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara.

Sehubungan itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri berpandangan pemberian kelepasan dua hari itu sebagai menandakan mustahaknya dua peristiwa berbeza yang jatuh pada hari yang sama.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu