Entrepreneurship grants only for truly qualified - Mohd Redzuan [ 3m ago ]

Syarikat Malaysia sertai pameran francais terbesar di ASEAN

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 12 Julai (Bernama) -- Tujuh syarikat francais Malaysia kini menyertai pameran francais, pelesenan dan peluang perniagaan terbesar di Thailand dan ASEAN dalam usaha mempromosi jenama kelahiran tempatan.

Syarikat terbabit yang juga jenama popular di Malaysia adalah The Manhattan Fish Market, MuzArt, Celmonze The Signature, Laundrybar, Saudagar Kurma S.A.G, Q-Dees and Ibu Sayang yang mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing.

Pameran dagangan Thailand Franchise & Business Opportunities (TFBO) 2019 berlangsung selama tiga hari mulai semalam di Bangkok International Trade and Exhibition Centre (BITEC).

TFBO adalah antara tiga pameran tahunan perdagangan antarabangsa di bawah satu bumbung yang dianjurkan oleh Kavin Intertrade Co Ltd selain dua acara lain iaitu Thailand Retail, Food & Hospitality Services (TRAFS) 2019 dan ASEAN Retail 2019.

Acara perdagangan 3 dalam 1 itu dijangka menjana jualan kira-kira 500 juta baht dan menarik seramai 25,000 pengunjung.

Ia disertai 395 pempamer dari lebih 20 negara dengan 5,000 produk selain turut menampilkan 10 pavilion enam negara iaitu Malaysia, Korea Selatan, China, Taiwan, Itali dan India.

Pavilion Malaysia di TFBO itu telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Badrul Hisham Mohd, hari ini.

Ia merupakan misi kedua Pengembangan Francais (FE) bagi tahun ini yang dianjurkan oleh KPDNHEP dalam usaha mempromosi industri francais Malaysia.

Tiga agensi di bawah KPDNHEP iaitu Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Persatuan Francais Malaysia turut menyertai acara perdagangan itu.

Dalam satu kenyataan, KPDNHEP berkata antara aktiviti yang diadakan termasuk pembentangan dan perbincangan perniagaan serta sesi jaringan dengan penggiat tempatan.

“Delegasi KPDNHEP mengambil peluang daripada sesi itu untuk memacu kerjasama dan sokongan bagi memajukan industri francais dari aspek model perniagaan.

“Ini sejajar usaha untuk meninjau peluang dalam usaha membuka pasaran tempatan kepada syarikat-syarikat francais Malaysia," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu