Wilayah Ninh Binh, Vietnam promosi pelancongan guna aplikasi 'tik tok' [ 1m ago ]

Kes Wan Ji: kaji semula kes hasutan jika ada representasi - Peguam Negara

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mengkaji semula setiap kes di bawah Akta Hasutan yang masih berjalan di mahkamah pada bulan Mei 2018 berdasarkan fakta kes tersebut, kata Peguam Negara, Tommy Thomas.

Beliau berkata jabatan itu hanya boleh bertindak berdasarkan representasi bertulis yang diterima daripada tertuduh atau peguam belanya dan ia sebagai langkah menjamin ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Bagaimanapun, katanya, dalam kes penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin, tertuduh tidak membuat sebarang representasi kepada ACG berhubung kes hasutannya.

”Peningkatan jumlah ucapan berbaur kebencian terutama dalam talian berkaitan perkauman, agama dan insitusi raja dalam masyarakat majmuk bermakna kebebasan bersuara dan ekspresi telah disalahgunakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Cabaran bagi jabatan ini adalah untuk mengimbangi kebebasan bersuara yang semakin meningkat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan peningkatan ucapan berunsur kebencian yang menyakiti perasaan rakyat, katanya.

Apabila pendakwaan dijalankan, jabatan ini akan bertindak berpandukan Kanun Keseksaan namun dalam keadaan tiada alternatif di bawah undang-undang, dalam kes-kes bersesuaian, jabatan ini tidak dapat menolak kemungkinan menggunakan Akta Hasutan sehingga ia dimansuhkan, katanya.

Mengulas kes Wan Ji, Tommy berkata dia dituduh di bawah Seksyen 4(1) (c) Akta Hasutan 1984 di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 10 Sept 2014 kerana menerbitkan perkataan menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kenyataan bersifat menghasut itu diterbitkan oleh tertuduh dalam akaun Facebooknya, wanji.attaaduddi pada 5 Nov 2015 dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dkenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun.

Tommy berkata tertuduh telah memohon untuk dibicarakan dan pada 9 April 2018, Mahkamah Sesyen mendapati tertuduh bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan.

”Teruduh menfailkan rayuan terhadap sabitan dan pada 9 April, 2018, Pendakwa Raya memfailkan rayuan balas terhadap hukuman,” katanya.

Kedua-dua rayuan dan rayuan balas telah disebut di Mahkamah Tinggi Shah pada 30 April 2019.

Bagaimanapun, katanya, tertuduh dan peguamnya tidak hadir ke mahkamah pada hari tersebut dan susulan itu, Mahkamah Tinggi mengarahkan pihak-pihak terbabit memfailkan hujahan bertulis dan menetapkan 9 Julai 2019 untuk keputusan.

Pada hari penghakiman tersebut, Tommy berkata Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan balas pendakwaan dan menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman Wan Ji serta menambah hukuman penjara sembilan bulan kepada setahun.

“Permohonan penangguhan hukuman penjara secara lisan dilakukan oleh tertuduh tetapi ditolak oleh Mahkamah Tinggi yang mengarahkan supaya permohonan secara bertulis dilakukan.

“Oleh itu tertuduh mula menjalankan hukuman pada 9 Julai namun permohonan rasmi penangguhan hukuman difailkan semalam dan Mahkamah Tinggi membenarkannya hari ini,” katanya.

"Pendakwa Raya tiada bantahan terhadap permohonan penangguhan hukuman tersebut dan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu pendengaran rayuan,” katanya.

Tommy berkata berdasarkan kronologi kejadian, adalah jelas bahawa rayuan balas oleh pihak pendakwaan telah dibuat sebelum PRU-14.

“Tiada representasi bertulis dikemukakan oleh tertuduh mahupun peguamnya dan secara peribadi tidak sedar tentang kes ini sehingga Mahkamah Tinggi membuat keputusan Selasa lalu dan diketahui umum,” katanya.

Beliau berkata perkara tersebut adalah tidak menghairankan kerana terdapat ratusan kes jenayah dan sivil di dengar di seluruh negara pada mana-mana hari bekerja.

“Oleh demikian, adalah mustahil untuk sesiapa sahaja mengetahui secara peribadi walaupun sebahagian kecil kes tersebut. Maka, pengagihan dan desentralisasi kuasa adalah penting,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sedang meneliti pilihan yang ada berhubung rayuan Wan Ji di Mahkamah Rayuan namun dengan mengambil kira sabitan Wan Ji di dua mahkamah sebelum ini, kuasa budi bicara dari pihaknya adalah sangat terhad.

Tommy menegaskan kes Wan ji sekali lagi memberi tumpuan kepada penggunaan Akta Hasutan 1948 dan salah tanggapan mengenai akta tersebut.

“Faktanya, pertama, Akta Hasutan adalah antara akta Parlimen yang akan dimansuhkan seperti janji dalam manifesto Pakatan Harapan, kedua, Jemaah Menteri belum memaklumkan kepada pihaknya sebarang keputusan untuk memansuhkan atrau memindanya,” katanya.

Menurutnya, di bawah sistem kerajaan sedia ada, Jemaah Menteri yang memutuskan bagi pihak Eksekutif sama ada untuk menggubal, memansuh atau meminda undang-undang untuk dibentangkan di Parlimen.

“Jabatan Peguam Negara berperanan membantu dalam menggubal undang-undang baharu,” katanya.

Selain itu, katanya, fakta ketiga adalah Jabatan Peguam Negara tidak menerima arahan Jemaah Menteri menghalang jabatan itu daripada menggunakan Akta Hasutan.

“Arahan seperti itu dalam apa jua keadaan sekalipun adalah tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah dengan kuasa budi bicara di bawah Perlembagaan Persekutuan kepada Peguam Negara untuk memutuskan perkara berkaitan pendakwaan sesuatu kes bagi pihak kerajaan,” katanya.

Katanya, selepas mula memegang jawatan Peguam Negara pada Jun 2018, beliau telah memutuskan untuk mengambil kira undang-undang alternatif dalam naskah-naskah undang-undang (termasuk peruntukan dalam Kanun Keseksaan) untuk menggunakan Akta Hasutan sebagai jalan terakhir.

Oleh kerana Akta Hasutan adalah undang-undang sah, ia tidak boleh diketepikan secara langsung dan ia hanya boleh berlaku sekiranya Akta Hasutan dimansuhkan oleh Parlimen, katanya.

Bagaimanapun, katanya, sejak PRU14, tiada seorang pun dituduh di bawah Akta Hasutan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu