Sabah capai 90 peratus tahap perkhidmatan ICT [ 25m ago ]

Kerajaan komited jalin kerjasama bangunkan pelancongan di Pahang - Mohamaddin

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
BENTONG, 12 Julai (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan komited untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri Pahang dalam membangunkan sektor pelancongan negeri ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata masih banyak produk pelancongan seperti air terjun dan sungai di Pahang yang berpotensi namun belum dikomersialkan.

Mengambil contoh Bentong, Mohamaddin berkata antara pusat rekreasi yang sudah terkenal ialah Hutan Lipur Chamang, Hutan Lipur Lentang, Kolam Air Panas Bentong dan Tanah Aina.

"Bagaimanapun, usaha untuk membangunkan kawasan yang belum diterokai bakal menemui jalan buntu jika tidak dijaga dengan baik. Kita tidak mahu kawasan flora dan fauna ini tercemar," katanya semasa berucap merasmikan Karnival Wow Wild Bentong 2019 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof dan Ahli Parlimen Bentong Wong Tack.

Beliau berkata kementeriannya juga bersedia memberi sokongan kepada penganjuran karvinal pelancongan termasuk penganjuran di daerah seperti yang dilakukan oleh Wong Tack, dalam memajukan industri itu.

Katanya, daerah Bentong wajar memanfaatkan produk tempatan yang sudah menempa nama sendiri, seperti halia bentong yang begitu berkualiti dan musang king yang menjadi tarikan pelancong, serta pusat pelancongan tanah tinggi seperti Genting Highlands, Janda Baik dan Bukit Tinggi.

"Saya ingin menarik seramai mungkin anak jati Bentong untuk sama-sama mewujudkan dan menambahbaik produk pelancongan bagi mencapai sasaran pelancong ke sini melebihi 200,000 orang menjelang hujung tahun ini.

"Saya juga mengharapkan bilangan pengusaha dan jumlah bilik inap desa dapat ditambah pada tahun ini supaya dapat sekurang-kurangnya menjana pendapatan inap desa melebihi RM70,000," katanya.

Mohamaddin berkata pada tahun lalu, seramai 143,641 pelancong direkodkan melancong di Bentong manakala pendapatan inap desa direkodkan sebanyak RM53,390.

Sehubungan itu, beliau berharap golongan muda dan badan bukan kerajaan (NGO) akan turut proaktif dalam membangunkan sektor pelancongan di negeri ini.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu