Felda dalam proses nilai kerosakan akibat banjir di Kelantan [ 41m ago ]

Kapal misi pesisir kedua milik TLDM dinamakan Sundang

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Kapal Misi Pesisir (LMS) kedua milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dinamakan Sundang pada upacara pelancaran dan penamaan kapal itu di Wuhan, China hari ini.

TLDM dalam satu kenyataan di sini memaklumkan upacara penamaan telah disempurnakan oleh Puan Seri Rusnah A. Rahman iaitu isteri Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Kapal itu dinamakan Sundang bersempena nama kapal ronda yang telah dilucut tauliah pada 1 Ogos 2005.

"Penggunaan nama Sundang yang merupakan senjata tradisional Melayu turut melambangkan simbol semangat kepahlawanan, perjuangan, keberanian dan kekuatan dalam menentang serta menangkis serangan musuh sebagaimana keris," menurut kenyataan itu.

Sundang merupakan kapal kedua selepas Keris dalam Skuadron LMS ke-11 dan baki dua buah lagi kapal akan dilancarkan pada pertengahan 2020.

"LMS berkemampuan melaksanakan tugas rondaan, pengawasan maritim, Search and Rescue (SAR) di samping menguatkuasakan undang-undang maritim Malaysia," kata kenyataan itu.

Kapal itu bakal menjalani beberapa fasa persediaan serta ujian sebelum diserahkan kepada TLDM pada April 2020 dan warga kapal ini dijangka mula menjalani latihan penyesuaian pada hujung tahun ini di China.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu