Kumpulan pertama jemaah haji dari Kelantan selamat tiba [ 3h ago ]

Perhilitan rampas 13 burung bayan serindit disimpan tanpa kebenaran

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
JOHOR BAHRU, 12 Julai (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor merampas 13 burung bayan serindit yang disimpan tanpa kebenaran di sebuah rumah di Kampung Sungai Siput, Jementah dekat Segamat, dua hari lepas.

Pengarahnya Salman Saaban berkata kesemua burung dalam 13 sangkar besi dan plastik itu dirampas dalam serbuan kira-kira pukul 3.45 petang, selepas Jabatan Perhilitan bertindak atas maklumat.

"Hasil pemeriksaan dan soal siasat ke atas seorang lelaki berusia 31 tahun mendapati kesemua burung itu tidak memiliki dokumen sah untuk disimpan," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Salman berkata pihaknya percaya haiwan itu disimpan untuk dijual di pasaran dengan harga antara RM100 dan RM200 seekor, bergantung kepada kecantikan warna bulunya.

Beliau berkata kesemua haiwan berkenaan dibawa ke Pejabat Jabatan Perhilitan Segamat untuk siasatan lanjut bagi kesalahan mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana memburu atau menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa permit atau lesen sah.

Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dihukum penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

Dalam kes berasingan, Salman berkata pihaknya turut merampas seekor burung Lang Berjambul dan lapan ekor landak raya di sebuah rumah di Felda Bukit Besar dekat Kulai, pada kira-kira pukul 1.00 tengahari, hari yang sama.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap lelaki berusia 55 tahun yang menetap di kediaman itu mendapati dia tidak mempunyai dokumen sah untuk menyimpan kesemua haiwan berkenaan.

Menurutnya, mengikut harga pasaran, Lang Berjambul dijual antara RM500 dan RM1,000 seekor mengikut saiz manakala landak raya pula antara RM3,500 dan RM5,000 seekor.

"Kenyataan lelaki itu juga telah direkodkan untuk siasatan mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu