Costard and Font seize gold on 1st day world waterski finals [ 7m ago ]

Federer singkir Nadal untuk ke pentas akhir tenis Wimbledon

Tarikh kemaskini: 13/07/2019
LONDON, 13 Julai (Bernama) -- Juara lapan kali Roger Federer menundukkan Rafael Nadal pada aksi separuh akhir kejohanan tenis Wimbledon untuk menempah tiket ke pentas final buat kali ke-12.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Federer yang turun selaku pilihan kedua dan akan menyambut ulang tahun ke-38 bulan depan, menang 7-6 (3), 1-6, 6-3, 6-4 ke atas bintang Sepanyol dalam pertembungan pertama mereka sejak final 2008 yang berakhir dengan Nadal menjulang piala.

"Set pertama memang sengit kerana tidak banyak mendapat peluang," kata Federer. "Saya fikir saya mempunyai peluang mematikan servis. Saya menyempurnakan servis dengan baik dan dibalas dengan aksi dan rali yang amat baik.

"Set kedua semakin sukar ditambah lagi apabila saya mengadap matahari. Servis saya berjaya dimatikan. Ia perlawanan yang sengit dan dia berjaya menguasai permainan selepas saya mendapat satu dua peluang pada awal set kedua.

"Saya mampu mengekalkan rentak permainan saya, kekal agresif dan terus menyerang. Saya fikir saya mula menghayun servis dengan lebih baik selepas set kedua.

"Saya menang banyak mata penting pada set ketiga dan keempat. Ada beberapa rali panjang yang menjerihkan pada saat genting dan ia memihak kepada saya. Saya rasa, ia menjadi perbezaannya hari ini," katanya.

Nadal, yang menambah koleksi gelaran Terbuka Perancis ke-12 pada bulan lalu berkata, "pukulan balasnya lebih baik daripada saya. Saya tidak dapat melakukan pukulan balas dengan baik hari ini.

"Bila itu terjadi, kelebihan memihak kepadanya dan dia secara umumnya menguasai permainan kerana anda akan berasa lebih tertekan berbanding dia.

"Pada penghujung permainan saya mula bermain lebih baik tetapi ia sudah terlalu lewat. Pukulan kilas saya tidak menjadi seperti permainan sebelum ini.

"Saya menjadi terlalu bimbang dengan pukulan kilas jadi saya tidak dapat melakukan hayunan dengan bebas."

Federer akan berdepan dengan juara bertahan, Novak Djokovic dalam aksi akhir pada Ahad.

Djokovic yang turun berbekalkan gelaran juara empat kali, menjinakkan pemain Sepanyol, Roberto Bautista Agut 6-2, 4-6, 6-3, 6-2 pada perlawanan awal.

"Saya teruja untuk berdepan dengan Novak," kata Federer.

"Kami sudah bermain banyak kali. Saya fikir ia lebih kepada rancangan permainan yang jelas.

"Lebih-lebih lagi kami beraksi dalam perlawanan yang hebat antara satu sama lain di Paris baru-baru ini.

Nadal yang menumpaskan Federer dalam straight set pada separuh akhir Terbuka Perancis bulan lalu, masih mendahului rekod pertembungan antara dua bintang itu dengan statistik 24-16.

Pada kancah akhir tahun ini, ia akan menjadi pertembungan akhir pertama antara dua daripada "Tiga Gergasi" sejak Djokovic menunjukan pintu keluar kepada Federer di final Wimbledon 2015.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu