Permulaan baik bagi Zii Jia [ 3m ago ]

Minyak sawit negara miliki sijil MSPO mampu masuki pasaran Jepun

Tarikh kemaskini: 13/07/2019
Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (kiri)
JASIN, 13 Julai (Bernama) -- Minyak sawit keluaran negara yang memiliki pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) berupaya memasuki pasaran Jepun khususnya menjelang penganjuran Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada tahun depan, kata Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berkata ini kerana Jepun sebuah negara maju yang mengiktiraf pensijilan itu selain negara yang mementingkan kelestarian dalam pelbagai aspek kehidupan mereka serta merupakan rakan dagang utama negara.

Katanya minyak sawit Malaysia menjadi pilihan dalam kalangan rakan dagang di Jepun kerana faktor bekalan, kualiti serta jaminan kemampanan yang boleh diharapkan selain miliki pensijilan MSPO.

"Seperti kita sedia maklum, Jepun hanya akan membeli minyak sawit yang ada pensijilan MSPO sahaja bagi menampung keperluan atlet khususnya menjelang Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dan mereka adalah pasaran yang baik untuk industri sawit negara.

"Selain itu, temasya sukan yang menjadi tumpuan pelbagai negara dari seluruh dunia itu merupakan satu platform terbaik untuk mempromosi minyak sawit keluaran negara sekali gus membidas serangan atau naratif songsang yang dilemparkan terhadap industri sawit negara sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Taklimat MSPO dan Sesi Dialog Bersama Penanam Sawit Melaka di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia Chew Jit Seng.

Sementara itu, Shamsul Iskandar berkata pekebun kecil dan pengusaha sawit di negara ini disaran segera mendapatkan pensijilan MSPO sebelum 31 Disember depan tanpa sebarang bayaran.

Beliau berkata sehingga 31 Mei lepas, sebanyak 2.13 hektar atau 36 peratus daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di negara ini telah mendapat pensijilan MSPO.

Katanya kerajaan menyediakan insentif berjumlah RM30 juta bagi membiayai yuran pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri.

"Kerajaan juga akan meningkatkan kadar insentif kos pengauditan MSPO daripada 70 peratus kepada 100 peratus dan insentif baharu kos persediaan MSPO sebanyak 50 peratus bagi estet berkeluasan 40.46 hingga 1,000 hektar," katanya.

Beliau berkata insentif bagi pekebun kecil tersusun juga akan ditingkatkan daripada RM10 sehektar kepada RM55 sehektar.

Sementara itu, katanya kerajaan sentiasa memantau dan memberi keutamaan bagi membantu pekebun kecil yang terjejas pendapatan mereka ekoran kejatuhan harga minyak sawit.

"Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk menstabilkan harga sawit termasuk meneroka pasaran baharu di negara Afrika dan rantau Asia Tenggara selain mengukuhkan pasaran sedia ada seperti di India, China, Pakistan dan Kesatuan Eropah," katanya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu