LKIM assists fishermen affected by Typhoon Lekima [ 11m ago ]

Dewan perdagangan, MOFAZ mahu teroka pasaran halal di negara CIS

Tarikh kemaskini: 13/07/2019
PETALING JAYA, 13 Julai (Bernama) -- Dewan Perdagangan ASEAN dan MOFAZ Dagang Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Perniagaan Islam Antarabangsa (IAIB) Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS) untuk meneroka potensi pasaran halal di perkumpulan negara bekas Soviet itu.

Presiden Dewan Perdagangan ASEAN Datuk Moehamad Izat Emir berkata susulan pemeteraian itu, dewan tersebut dan MOFAZ akan memberi tumpuan utama kepada makanan halal untuk menembusi negara CIS yang mempunyai populasi penduduk kira-kira 240 juta.

Moehamad Izat berkata beliau akan mengetuai delegasi ke pameran perdagangan di Moscow, Rusia pada Oktober ini.

“Saya percaya ia akan menjadi permulaan yang baik kepada kita untuk menerima permintaan di Rusia, dan secepat mana kita boleh menembusi pasaran Rusia,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bersama delegasi IAIB yang diketuai presidennya, Marat Kabaev di sini hari ini.

Terdahulu, Kabaev berkata persatuan itu berminat dengan produk halal Malaysia selain industri halal di negara ini.

IAIB ialah organisasi tidak berasaskan keuntungan yang ditubuhkan di Moscow, Rusia bertujuan membangunkan perniagaan dan hubungan ekonomi dengan negara-negara Islam.

Sementara itu, Presiden dan Pengasas MOFAZ Mohamed Fauzy Abdul Hamid berkata susulan pemeteraian pada hari ini, syarikat itu akan menjadi pemudah cara dan orang tengah untuk menghubungkan penggiat industri di Malaysia dan para pengguna di Rusia.

“Dengan pengalaman selama 42 tahun, hubungan dan pengetahuan untuk menjalankan perniagaan, tugas saya ialah mendedahkan penggiat industri ini kepada pasaran baharu yang berpotensi.

“Saya percaya pasaran halal atau Islam di Rusia ialah pasaran baharu kepada kita,”katanya sambil berharap turut dapat membawa masuk produk berteknologi baharu dari Rusia.

Pada majlis hari ini, Mohamed Fauzy dilantik sebagai wakil ASEAN bagi IAIB.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu