Sabah capai 90 peratus tahap perkhidmatan ICT [ 23m ago ]

Tiada pemberhentian pekerja, bukan penswastaan penuh - veteran & kesatuan MAB

Tarikh kemaskini: 14/07/2019
Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Tiada sebarang pemberhentian pekerja selain bukan penswastaan penuh dan perlu mengekalkan Malaysia Airlines Bhd (MAB) sebagai syarikat penerbangan nasional, itu permintaan serta gesaan bekas dan kesatuan warganya terhadap kerajaan jika pengambilalihan oleh pihak swasta langkah yang diputuskan untuk memulihkannya.

Mereka berpandangan pilihan terbaik adalah usaha sama dengan kerajaan, selain kepentingan Khazanah Nasional Bhd dalam MAB.

Ini kerana jika sebaliknya, pemilikan swasta secara penuh hanya akan menjejaskan kepentingan negara, menurut mereka.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM), Ismail Nasaruddin amat berharap kerajaan kekal menjadi pemegang kepentingan majoriti dalam MAB.

Berkongsi pandangannya bersama Bernama baru-baru ini, Abdul Aziz berkata usaha sama tersebut menjadi langkah terbaik dalam usaha memulihkan MAB memandangkan kerajaan tidak mempunyai peruntukan mencukupi untuk disuntik ke dalam syarikat penerbangan itu.

“Semuanya bergantung kepada kerajaan, bahkan kalau nak jual semua saham sekali gus pun boleh kerana mereka punya hak untuk melakukannya.

“Kerajaan boleh ambil bahagian dalam perniagaan MAB tetapi dengan kerjasama pihak swasta. Itu cara yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Ismail percaya terdapat beberapa perkara yang kerajaan tidak seharusnya lepaskan demi kepentingan syarikat penerbangan itu dan kepentingan negara.

“Penting untuk kerajaan memiliki ‘saham emas’ (kepentingan majoriti) dalam MAB kerana skop menjalankan perniagaan mungkin akan berbeza (pada masa depan).

“(Jika tidak) MAB akan diuruskan mengikut cara swasta menjalankan perniagaan, dengan mereka (pihak swasta) boleh memberhentikan 10,000 pekerja begitu sahaja,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berpendapat MAB perlu dipantau oleh Pejabat Perdana Menteri atau Kementerian Kewangan di samping mengurangkan kepentingan Khazanah sebagai pemegang saham tunggal dalam syarikat penerbangan berkenaan untuk menghapuskan sebarang ‘gangguan dalaman’.

“Selama ini Khazanah yang merangka pelan pemulihan dan tidak dapat dilaksanakan.

"Justeru itu, kerajaan sewajarnya membenarkan pasukan baharu (dalam lembaga pengarah dan pengurusan atasan) untuk memimpin syarikat penerbangan yang ‘sakit’ ini,” katanya.

Pada Rabu lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata kerajaan bersedia melepaskan pegangan ‘majoriti’ dalam MAB berasaskan dua syarat -- identiti syarikat penerbangan itu dikekalkan dan tiada pemberhentian pekerja yang ada ketika ini.

Beliau berkata semua cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan, sama ada daripada konsortium, usahawan dan syarikat, akan diteliti menerusi kajian menyeluruh terutama mengenai kemampuan pihak yang ingin mengambil alih MAB.

Abdul Aziz dan Ismail turut mendesak pihak yang berminat dalam pengambilalihan MAB untuk benar-benar memahami syarikat penerbangan itu dari segi latar belakang dan warganya, sebelum membuat sebarang cadangan atau rancangan strategik agar sejarah lama tidak berulang.

“Mereka mesti memikirkan setiap orang yang berkhidmat dengan Malaysia Airlines.

“Mereka (kakitangan) telah melalui begitu banyak langkah penyusunan semula. Biarkan perdana menteri membuat keputusan mengenai pihak bebas berkenaan, (saya percaya) hanya pihak-pihak yang sangat rapat dan berkaitan dengan industri penerbangan sahaja yang boleh menguruskan syarikat penerbangan ini,” katanya.

Baru-baru ini, wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin mendakwa lembaga pengarah Khazanah menolak cadangan untuk menutup MAB.

Beliau juga dilaporkan berkata empat inisiatif pemulihan oleh kerajaan dengan kos hampir RM25 bilion dengan pemberhentian 6,000 pekerja telah gagal.

Sebelum ini dilaporkan Malaysia Aviation Group, syarikat pegangan MAB, juga sedang merangka strategi baharu untuk memulihkan syarikat itu.

Kerajaan turut terbuka kepada sebarang cadangan atau perkongsian luar termasuk dari negara jiran seperti Singapore Airlines.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu