Getting stuck with the nickname 'Awang' forever [ 9m ago ]

INSP di Archidex jana nilai eksport berpotensi RM35.12 juta

Tarikh kemaskini: 14/07/2019
KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Nilai eksport berpotensi sebanyak RM35.12 juta dijana daripada lebih 60 sesi pertemuan perniagaan melibatkan pembuat bahan binaan Malaysia dengan pembeli global, yang diadakan semasa sesi padanan perniagaan di Program Penyumberan Antarabangsa (INSP).

Ia dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sempena Pameran Seni Bina, Rekaan Dalaman dan Bangunan Antarabangsa (ARCHIDEX) edisi ke-20 pada 3 Julai 2019.

Menurut MATRADE, 28 syarikat Malaysia mengadakan pertemuan dengan 10 pembeli asing dari India, Indonesia, Thailand, Vietnam, Korea Selatan dan Kenya semasa sesi tersebut.

“Antara produk Malaysia yang ditawarkan semasa program itu ialah produk kayu, papan lapis, kelengkapan sanitari, bahan kedap, pintu dan tingkap,” menurut agensi perdagangan itu dalam kenyataan hari ini.

Pada 2018, nilai eksport bahan binaan Malaysia berjumlah RM29.87 bilion dengan pasaran eksport utama termasuk Singapura diikuti Jepun dan Australia.

Antara produk bahan binaan utama yang dieksport ialah produk kayu, produk mineral bukan logam, barangan perkilangan logam, kayu bergergaji selain produk pengacuan serta besi dan keluli.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu