Entrepreneurship grants only for truly qualified - Mohd Redzuan [ 3m ago ]

Kenaikan harga gas akan tingkatkan kos pengeluaran sarung tangan getah - MARGMA

Tarikh kemaskini: 14/07/2019
KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) – Kenaikan mendadak harga gas asli seperti diumumkan Gas Malaysia Bhd (GMB) akan menyebabkan harga sarung tangan getah meningkat pada masa depan susulan peningkatan kos pengeluaran, kata Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

Presidennya Denis Low Jau Foo dalam kenyataan hari ini berkaitan pengumuman pada Jumaat mengenai kenaikan harga yang berkuat kuasa esok, menyifatkan notis itu diberikan dalam tempoh amat singkat.

Menurutnya, dalam perniagaan eksport sarung tangan getah, pesanan akan diambil antara dua hingga tiga bulan lebih awal berdasarkan kos pengeluaran oleh pembeli asing.

Beliau menyifatkan bahawa kenaikan tarif gas asli secara mendadak itu telah mengganggu keseimbangan pasaran sehingga berlaku peningkatan kos yang tidak dijangka.

“Pengeluar di Malaysia perlu menyerap kenaikan kos itu bagi kira-kira RM5 bilion pesanan yang diambil sebelum pengumuman tersebut.

“Ini menyebabkan, Malaysia akan kerugian kira-kira RM47.2 juta perolehan asing akibat kenaikan mendadak tarif gas untuk tempoh tiga bulan akan datang,” katanya.

Low berkata peningkatan kos seumpama itu boleh disalurkan kepada pembeli di luar negara sekiranya diberikan notis dan tempoh masa yang mencukupi.

Beliau turut menyifatkan tindakan GMB sebagai langkah kurang tepat khususnya apabila MARGMA mempunyai masa dan sekali lagi memohon diberikan notis lebih awal.

Kenaikan harga gas asli kepada RM34.12 per MMBtu daripada RM32.38 per MMBtu adalah bersamaan peningkatan 5.37 peratus bagi kategori Tarif F.

“Peningkatan tersebut adalah terlalu mendadak dan kuantum juga adalah tinggi iaitu dengan hanya diberikan notis tiga hari kepada pengeluar pada hujung minggu dan berkuat kuasa 15 Julai, 2019. Tarif itu lebih tinggi daripada tarif asas tarif purata pada RM32.74 MMBtu seperti diumumkan dalam halatuju pada 28 Dis, 2016,” katanya.

Kenaikan harga gas asli seperti dianggarkan MARGMA akan menyebabkan pertambahan kos pengeluaran sebanyak US$ 0.30 hingga US$0.80 bagi setiap 1,000 keping sarung tangan nitril dan kira-kira US$ 0.35 hingga US$0.85 bagi sarung tangan getah.

Kesemua pengeluar perlu menguruskan kos pengeluaran dengan berhati-hati, bergantung kepada jenis produk dan proses pembuatan selain profil penggunaan tenaga supaya tidak menanggung kerugian akibat margin keuntungan yang rendah.

“MARGMA juga menggesa kerajaan untuk mengkaji dan memanfaatkan kelebihan semula jadi kita seperti gas asli bagi merancakkan pertumbuhan industri dan bukan sahaja menjual gas sebagai komoditi dan memberi faedah kepada pihak lain,” kata Low.

-- BERNAMA










       Berita Utama Terdahulu