Tindakan pelajar UMT selamatkan ikan lumba-lumba dapat pujian ramai [ 1h ago ]

PAC: Wang kutipan hasil GST tidak hilang

Tarikh kemaskini: 15/07/2019
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) – Hasil siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung Tuntutan Tunggakan Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di bawah Kementerian Kewangan, mendapati tiada kehilangan wang dalam kutipan hasil GST.

Pengerusinya Datuk Dr Noraini Ahmad berkata laporan berkenaan yang dibentangkan di Parlimen hari ini mendapati hasil GST yang tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST telah digunakan untuk tujuan membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Namun, katanya kerajaan sebelum ini telah terlebih anggar hasil GST bersih yang dikutip pada kadar 65 peratus daripada jumlah kutipan hasil.

“Penangguhan pemindahan dana dari Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST dibuat untuk menjaga kedudukan aliran wang tunai negara supaya tidak berada dalam keadaan defisit pengurusan di mana perbelanjaan mengurus tidak boleh melebihi hasil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata tindakan kerajaan sebelum ini untuk memasukkan semua hasil kutipan GST ke Akaun Hasil Disatukan terlebih dahulu, dan kemudiannya dipindahkan secara berperingkat apabila diperlukan, seperti yang diputuskan oleh Jawatankuasa Pembayaran Balik GST ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST, tidak selaras dengan peruntukan Seksyen 54(2) dan Seksyen 54(5) Akta GST 2014.

Beliau berkata Seksyen 54(2) Akta GST 2014 dan Surat Ikatan Amanah Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST bertarikh 13 Mac 2015, menetapkan semua kutipan GST hendaklah diakaunkan terlebih dahulu di dalam Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST.

“Peraturan 67 (1) Peraturan-peraturan GST 2014 pula memperuntukkan tempoh masa bagi pembayaran balik GST ialah 14 hari bekerja atau dalam tempoh yang praktik selepas Penyata GST- 03 diterima secara elektronik.

“Bagi penyata yang diterima secara manual, pembayaran balik akan dibuat dalam tempoh 28 hari bekerja atau dalam tempoh yang praktik. Ini adalah untuk menjamin pembayaran balik GST dalam masa yang ditetapkan oleh undang-undang,” katanya.

Beliau berkata penetapan dasar untuk memindahkan 35 peratus daripada jumlah kutipan hasil GST bagi setiap tahun dari Kumpulan Wang Disatukan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST apabila diperlukan, tidak mencukupi untuk menampung permohonan pembayaran balik GST.

“Berdasarkan keterangan ketika prosiding, PAC Parlimen mendapati kadar penetapan dasar sewajarnya adalah sekurang-kurangnya 42 peratus,” katanya.

Noraini berkata PAC memulakan prosiding pada 12 September tahun lepas berikutan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat pada Ogos 2018 bahawa tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion ‘dirompak’ Kerajaan terdahulu.

Beliau berkata PAC telah memanggil semua pihak berkepentingan, termasuk Menteri Kewangan, bekas menteri kewangan, bekas menteri kewangan II, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Ketua Pengarah JKDM serta Akauntan Negara.

“Jawatankuasa ini juga mendengar taklimat daripada Ketua Audit Negara berhubung kesahihan tuntutan tunggakan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion, selain mendapat pandangan Peguam Negara mengenai prosedur bayaran balik GST,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu