Points dropped and Selangor's stuttering Malaysia Cup campaign continues [ 8h ago ]

Hoi An dinobat bandar terbaik dunia oleh majalah Travel & Leisure

Tarikh kemaskini: 15/07/2019
HANOI, 15 Julai (Bernama) -- Kota kuno Hoi An yang terletak di wilayah tengah Quang Nam mendahului senarai 15 bandar terbaik di dunia dalam satu undian oleh pembaca majalah pelancongan Amerika Syarikat (AS), Travel & Leisure baru-baru ini, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Menurut majalah itu, pembaca menilai bandar terbabit berdasarkan pemerhatian mereka serta mercu tanda, budaya, makanan, kemesraan, tempat beli-belah dan nilai keseluruhan.

Hoi An menduduki tangga teratas dengan skor 90.31 daripada jumlah 100, yang dikaitkan dengan penduduk tempatannya yang mesra, budaya, warisan dan makanan.

Ia disusuli San Miguel de Allende (Mexico), Chiang Mai (Thailand), Mexico City (Mexico), Oaxaca (Mexico), Ubud (Indonesia), Tokyo dan Kyoto (Jepun), Florence (Itali), Udaipur (India), Rom (Itali), Charleston (AS), Seville (Sepanyol), Santa Fe (AS) serta Bangkok (Thailand).

Hoi An adalah sebuah destinasi pelancongan terkenal di Vietnam. Kota kuno itu telah dinamakan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1999.

Baru-baru ini, bandar itu disenarai sebagai antara 10 idea percutian menakjubkan untuk tahun 2019 oleh Elle, majalah gaya hidup terkenal di seluruh dunia yang berasal dari Perancis.

Terdahulu, Hoi An dinamakan sebagai antara 50 tempat terbaik di dunia untuk dikunjungi pada 2019, menurut senarai yang dikeluarkan Travel & Leisure.

Ia turut menduduki tempat ke-11 dalam kalangan 19 destinasi percutian paling murah di dunia pada 2019 dalam laporan tahunan Holiday Money yang disusun oleh Post Office Travel Money.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu