Love for the Jalur Gemilang needs to be inculcated from young [ 10m ago ]

19 pelancong cedera ditimpa dahan pokok berusia hampir 500 tahun di Azerbaijan

Tarikh kemaskini: 15/07/2019
BAKU, 15 Julai (Bernama) -- Sembilan belas pelancong, termasuk tujuh rakyat asing, cedera selepas ditimpa dahan sebatang pokok berusia hampir 500 tahun di Istana Khan, sebuah tapak warisan dunia di bandar Sheki, yang terletak di utara Azerbaijan pada Ahad, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa kecemasan negara.

"Dahan sepanjang 50 sentimeter daripada pokok yang wujud sejak tahun 1530 itu tiba-tiba jatuh menimpa sekumpulan pelancong yang berdiri di bawahnya dan mencederakan 19 daripada mereka," menurut Pejabat Ketua Pendakwaan dan Kementerian Kecemasan dalam satu kenyataan bersama.

Menurut Kementerian Kesihatan, terdapat dua rakyat Rusia dan lima rakyat Syria dalam kalangan mangsa yang cedera.

"Mereka yang cedera terus diberikan bantuan perubatan kecemasan dan dimasukkan ke hospital, dengan empat daripada mereka berada dalam keadaan kritikal," kata pihak berkuasa kesihatan.

Sekumpulan doktor, pegawai kecemasan dan penguatkuasaan undang-undang dibawa dari ibu negara Baku ke lokasi kejadian dengan sebuah helicopter.

Pihak berkuasa melancarkan satu siasatan berkaitan punca insiden itu.

Pusat bersejarah Sheki dan Istana Khan telah ditambah ke senarai Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Ahad.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu