Tindakan pelajar UMT selamatkan ikan lumba-lumba dapat pujian ramai [ 59m ago ]

Keuntungan bersih LPI meningkat kepada RM70.8 juta

Tarikh kemaskini: 15/07/2019
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Keuntungan bersih LPI Capital Bhd meningkat 7.7 peratus kepada RM70.78 juta bagi tempoh suku kedua berakhir 30 Jun, 2019 daripada RM65.74 juta, setahun lepas.

Ini diraih susulan pertumbuhan perolehan lebih kukuh kepada RM386.90 juta daripada RM353.05 juta bagi tempoh sama tahun lepas, didorong oleh hasil kasar premium yang lebih tinggi, kata syarikat itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Anak syarikat milik penuhnya yang juga penginsurans am Lonpac Insurance Bhd, merekodkan peningkatan premium bertulis kasar (GWP) sebanyak 20.7 peratus bagi tahun ke tahun kepada RM366.6 juta manakala pertumbuhan pendapatan premium bersih naik 12 peratus kepada RM252.0 juta.

Menurut LPI, jumlah GWP segmen insurans kebakaran dan motor masing-masing meningkat hampir 12 peratus kepada RM149.11 juta dan RM83.03 juta manakala GWP segmen marin, penerbangan dan transit melonjak tiga kali ganda kepada RM35.14 juta.

Pihak Lembaga Pengarah telah mengumumkan dividen interim pertama 27 sen sesaham atau RM107.6 juta iaitu 3.9 peratus lebih tinggi berbanding pembayaran dividen interim pertama RM103.6 juta pada Ogos tahun lepas. Pembayaran itu mewakili 72.8 peratus daripada jumlah keuntungan bersih kumpulan untuk pemegang saham.

Mengulas prospek bagi 2019, Pengerusi LPI Group Tan Sri Teh Hong Piow berkata tempoh itu terus menjadi waktu mencabar untuk industri insurans am Malaysia berikutan proses liberalisasi dan persekitaran ekonomi yang perlahan.

“Kami menjangkakan nisbah tuntutan berkemungkinan terus berkurangan susulan persaingan harga yang sengit dan mendapatkan bahagian pasaran.

"Lonpac bagaimanapun akan terus mengamalkan sikap berhati-hati dalam pemilihan risiko dan pengurusan tuntutan bagi membolehkannya untuk terus menjadi penggiat utama di pasaran," katanya.

Beliau berkata, lebih banyak produk inovatif akan dilancarkan membabitkan portfolio pilihan manakala portfolio yang kurang mencatat prestasi baik akan diteliti di bawah semakan semula penajaan jamin.

Malah, jelasnya, Lonpac juga akan memastikan prestasi penajaan jaminnya tidak akan dijejaskan oleh strategi pengembangan perniagaannya.

“Kami yakin LPI Group bersedia untuk meraih sebarang manfaat daripada peningkatan kegiatan ekonominya dalam separuh kedua 2019,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu