Minta sedekah, wanita Myanmar didenda maksimum RM100 [ 17m ago ]

12 tentera maut bangunan runtuh di India

Tarikh kemaskini: 15/07/2019
Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 15 Julai (Bernama) -- Seramai 12 tentera India dan seorang awam terbunuh dalam kejadian bangunan runtuh di utara Himachal Pradesh.

Menurut laporan media tempatan, kejadian berlaku pada Ahad. Seramai 35 anggota tentera dari kem berdekatan mengunjungi restoran terletak di sebuah bangunan di daerah Solan, kira-kira 40 kilometer dari ibu negeri Shimla.

Ketika kejadian terdapat kira-kira 40 orang berada di dalam bangunan itu.

"Kami sangka berlaku gempa bumi dan kami terperangkap di bawah runtuhan. Saya terperangkap selama kira-kira 10-15 minit sebelum diselamatkan," kata seorang mangsa yang cedera.

Orang awam yang maut adalah isteri pemilik restoran terbabit, memetik media tempatan.

Pihak berkuasa berkata bangunan empat tingkat itu dipercayai dibina tanpa mengikut peraturan pembinaan dan siasatan akan dijalankan.

"Bangunan yang tidak mematuhi piawaian banyak terdapat di negeri ini. Pemiliknya menjalankan pembinaan tanpa mengikut peraturan," kata Ketua Menteri Jai Ram Thakur.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu