Polis cari waris pejalan kaki maut dilanggar di Rengit [ 7m ago ]

Korea Selatan: Lesen dwi bahasa bakal diiktiraf di 35 negara

Tarikh kemaskini: 15/07/2019
SEOUL, 15 Julai (Bernama) -- Korea Selatan akan mengeluarkan lesen memandu baharu mengandungi maklumat peribadi ditulis dalam bahasa Inggeris yang akan diiktiraf di 35 negara, lapor agensi berita Yonhap demikian menurut pegawai pada Isnin.

Maklumat peribadi itu akan tertera di bahagian belakang lesen dan mula dikeluarkan pada September.

Ketika ini, maklumat pemandu hanya dicetak di bahagian hadapan lesen dalam bahasa Korea, mewajibkan pemegang yang ingin memandu di luar negara mendapatkan lesen memandu antarabangsa yang sah untuk tempoh setahun atau mempunyai terjemahan bahasa asing.

Menurut Pihak Berkuasa Lalu Lintas Korea (KoRoad), lesen baharu itu akan menggantikan lesen memandu antarabangsa di 35 negara di seluruh dunia termasuk Britain, Kanada dan Australia.

Maklumat dalam bahasa Inggeris termasuk nama pemandu, alamat dan jantina serta pihak berkuasa yang mengeluarkan. Jenis kenderaan yang boleh dikendalikan oleh pemegang lesen pula mengikut piawaian antarabangsa. Lesen baharu itu juga akan dilengkapi pelbagai ciri untuk mencegah pemalsuan dan pengubahan.

Pemegang lesen Korea Selatan versi baharu itu boleh memandu kereta di 35 negara tanpa prosedur tambahan, kata KoRoad.

Buat masa ini, lesen memandu antarabangsa Korea Selatan diiktiraf oleh 97 negara yang menandatangani Perjanjian Vienna.

Daripada jumlah itu, 67 negara mengiktiraf terjemahan lesen pemandu Korea Selatan melalui perjanjian dua hala.

Agensi Polis Kebangsaan Korea telah menghubungi 67 buah negara, 35 daripadanya bersetuju mengiktiraf lesen baharu itu menjelang 22 April, kata pegawai KoRoad.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu