Masa depan Tchetche bersama Skuad Penyu masih samar [ 56m ago ]

SRC kena bayar RM9.2 bilion kepada KWAP - Peguam

Tarikh kemaskini: 15/07/2019
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa SRC International Sdn Bhd perlu membayar RM9.2 bilion kepada Kumpulan Wang Diperbadankan (KWAP) bagi pembiayaan Bai Al-Inah untuk pembiayaan RM4 bilion yang dibuat syarikat itu daripada KWAP.

Mohd Shuhaimi Ismail, peguam dan rakan kongsi di firma guaman Hisham, Sobri & Kadir yang menyediakan kertas kedua-dua pinjaman SRC, berkata jumlah itu adalah harga jualan dari pihak KWAP kepada SRC termasuk 12 peratus kadar faedah.

“Harga jualan dalam transaksi ini merujuk kepada jumlah pembiayaan iaitu RM2 bilion termasuk keuntungan yang dipersetujui selama tempoh 10 tahun iaitu berdasarkan kadar yang dipersetujui dalam perjanjian pembelian dan kadar faedah 12 peratus.

“Jadi harga jualan yang dikenakan oleh pihak KWAP kepada SRC ialah RM4.6 bilion bagi kemudahan pinjaman pertama dan RM4.6 bilion bagi pinjaman kedua,’ katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi.

Mohd Shuhaimi, 50, yang kini Pengarah Bahagian Undang-Undang Bandar Malaysia Sdn Bhd., berkata bagi harga jualan RM4.6 bilion untuk pinjaman pertama, SRC perlu membayar dalam tempoh 10 tahun iaitu sehingga 2021 manakala pinjaman kedua pada 2022.

Saksi pendakwaan ke-48 itu berkata berdasarkan kontrak jual beli, pihak yang menandatangani kontrak itu iaitu SRC mesti bertanggungjawab membayar semula apa yang dijanji iaitu harga jualan mengikut masa, tarikh yang dipersetujui.

Muhammad Saifuddin : Maknanya SRC masih lagi kena bayar pinjaman itu

Mohd Shuhaimi : Ya

Muhammad Saifuddin : SRC kena bayar balik semula pinjaman ?

Mohd Shuhaimi : Ya sebenarnya SRC kena bayar RM4.6 biilion pinjaman pertama dan RM4.6 bilion pinjaman kedua termasuk kadar keuntungan

Muhammad Saifuddin : Jadi untuk kedua-dua pinjaman jumlah yang perlu dibayar SRC ialah RM9.2 atau anggaran RM9.3 bilion

Mohd Shuhaimi : Ya

Beliau berkata berdasarkan perjanjian pembelian sebagai balasan kepada pihak pembiaya (KWAP) yang memberi kemudahan pembiayaan kepada SRC dan atas permintaan pelanggan (SRC) maka pembiaya menjual kepada pihak pelanggan aset yang dinyatakan dalam perjanjian pembelian itu.

Muhammad Saifuddin : Aset ini milik KWAP ?

Mohd Shuhaimi : Ya, aset ini milik KWAP yang digunakan untuk jual beli. Aset dalam bentuk saham dijual kepada SRC di bawah perjanjian penjual;an set. Harga jualan yang dipersetujui ialah RM4.6 billion (bagi pinjaman pertama)

Muhammad Saifuddin : RM4,687906694.77 bilion

Mohd Shuhaimi : Ya betul

Muhammad Saifuddin : Bagaimana jumlah RM4.6 bilion bagi setiap pinjaman ini diperolehi. Adakah jumlah RM2 billion yang asal ditambah dengan kadar keuntungan yang akan diperolehi untuk 10 tahun .

Mohd Shuhaimi : Betul

Saksi itu berkata surat perjanjian pinjaman pertama yang dikeluarkan pada Ogos 2011 ditandatangani oleh Datuk Nor Azian Mohd Noh, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWAP ketika itu dan CEO SRC, Nik Faisal Ariff Kamil.

Katanya, bagi pinjaman perjanjian kedua ia ditandatangani oleh Nor Azian dan Allahyarham Ahmad Norhisham Hassan, Pengarah Jabatan Pendapatan Tetap KWAP ketika itu dan Datuk Suboh Md Yassin, iaitu bekas pengarah SRC, pada Mac 2012.

Ditanya tanggungjawab SRC berhubung jual beli aset itu, Mohd Shuhaimi berkata berdasarkan kemudahan pinjaman itu, SRC bertanggungjawab membayar sehingga RM4.6 bilion (bagi setiap pinjaman) kepada KWAP mengikut terma yang dinyatakan dalam kemudahan pinjaman itu.

Ketika diminta menjelaskan prinsip jual beli Bai Al-Inah, Mohd Shuhaimi berkata, untuk prinsip ini pihak-pihak yang berkontrak akan memasuki jual beli dan dalam kes ini kontrak jualan dari KWAP kepada SRC di mana KWAP akan menjual aset yang dikenal pasti kepada SRC mengikut harga jualan.

Pada prosiding itu, saksi juga dirujuk kepada empat dokumen iaitu perjanjian kemudahan, penjualan aset, pembelian aset dan surat jaminan berkaitan kedua-dua pinjaman oleh SRC itu.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu