Mangsa kebakaran Kampung Titingan diingatkan tidak boleh bina semula rumah di kawasan sama [ 21m ago ]

Ekspo WHOLE 2020 berkaitan hospitaliti dirancang di Pulau Pinang tahun depan

Tarikh kemaskini: 15/07/2019

GEORGE TOWN, 15 Julai (Bernama) -- Buat julung kalinya Malaysia akan menganjurkan ekspo berkaitan hospitaliti yang dinamakan Pameran dan Persidangan “World Hospitality, Lifestyle and Entertainment 2020 (WHOLE 2020), dijadualkan berlangsung di SPICE Arena and Convention Centre, Pulau Pinang pada 10 Sept tahun depan.

Ekspo selama tiga hari itu dianjurkan oleh Alpine Group Services dengan kerjasama Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Budaya dan Warisan Pulau Pinang, kata pengerusinya Yeoh Soon Hin.

Beliau berkata kira-kira 350 pempamer dari 30 negara dan 10,000 ahli perniagaan dijangka menghadiri WHOLE 2020.

“WHOLE 2020 juga akan menjadi platform bagi menarik kehadiran pelabur asing, di mana penganjur menyasarkan 30 peratus daripada pameran melibatkan syarikat antarabangsa, dan 70 peratus dari pasaran tempatan,” katanya kepada pemberita di sini selepas majlis pelancaran program itu.

Beliau berkata ekspo itu juga selaras dengan inisiatif 2020 kerajaan negeri dan Persekutuan dalam mencapai sasaran menerima kunjungan 30 juta pelancong, dan membelanjakan kira-kira RM100 bilion dalam negara.

Sementara itu Pengerusi Alpine Integrated Solutions Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata Pulau Pinang dipilih untuk menjadi tuan rumah WHOLE 2020 kerana ia boleh dianggap sebagai pusat hospitaliti dan hub pelancongan negara.

“Walaupun sebagai negeri kedua paling kecil di malaysia, Pulau Pinang telah membangunkan sektor perniagaan pelancongannya sejak sekian lama dan menduduki tempat kedua dalam destinasi pilihan untuk sektor Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE),” katanya.

Katanya mereka merancang untuk menjadikan ekspo itu sebagai acara dwi-tahunan.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu