Sabah capai 90 peratus tahap perkhidmatan ICT [ 20m ago ]

iMoney lancar alat skor kredit versi Bahasa Malaysia

Tarikh kemaskini: 16/07/2019
KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- iMoney, laman web bandingan kewangan, melancarkan versi bahasa Malaysia bagi alat skor kredit secara percumanya, iMoney CreditScore, untuk menjadikan semakan kedudukan kewangan lebih mudah diakses rakyat Malaysia.

Menurutnya, alat itu, dilancarkan seiring dengan kempen iMoney iaitu #JomSkor bermula hari ini sehingga akhir Ogos, bertujuan memudahkan lebih ramai rakyat Malaysia menyemak skor kredit mereka dan mengambil langkah penting untuk menambah baik kewangan masing-masing.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan iMoney, Mitul Lakhani berkata pendaftaran bagi laman web itu mencatatkan peningkatan ketara sejak pelancaran pertama iMoney CreditScore pada akhir 2018.

Beliau berkata, peluang dan keperluan masih ada untuk mencapai lebih ramai rakyat Malaysia menyemak skor kredit serta prestasi kewangan mereka.

“Matlamat kami adalah mendapatkan lebih ramai rakyat Malaysia mendaftar untuk mendapatkan skor kredit mereka, memahami kedudukan kewangan dan merasai kelebihan dalam membuat keputusan bijak mengenai wang,” katanya.

Beliau berkata langkah pertama yang penting dalam membantu rakyat Malaysia memahami kedudukan kewangan dan meletakkan mereka di landasan ke arah membuat keputusan kewangan lebih baik adalah menggalakkan mereka untuk mendaftar dan menyemak skor kredit secara kerap.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu