Felda dalam proses nilai kerosakan akibat banjir di Kelantan [ 48m ago ]

Kambyan laksana fasa 4 projek perladangan digital di Tanjung Malim

Tarikh kemaskini: 16/07/2019
KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Kambyan Network, yang melaksanakan kaedah perladangan digital di ladang kelapa sawit seluas 800 hektar di Tanjung Malim, Perak, kini melaksanakan fasa 4 projek itu.

Menerusi fasa itu, syarikat akan memperkenal sistem penuaian, pembajaan, membuang rumput dan sistem pengangkutan menggunakan teknologi robotik dan kecerdasan buatan (AI), juga dikenali sebagai AutoHaFeWeT, di ladang milik Koperasi Permodalan Tanah Bhd katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiga fasa pertama projek 24 bulan itu yang bermula April, telah selesai.

"Berbeza dengan pertanian tradisional dengan petani hanya bergantung kepada manusia untuk mengkaji daun, tanah dan mungkin juga meramalkan hujan, penyelesaian perladangan digital menggunakan dron pengesan, penyemburan autonomi, penuaian dan dron pengangkutan," kata Kambyan Network.

Sistem tanpa pemandu itu meningkatkan penggunaan robotik, objek rangkaian Internet, AI dan data analitis untuk merealisasikan kaedah pertanian pintar yang akan mengurus bekalan air dan nutrien, kawalan serangga dan penyakit, analisis daun serta meramalkan hujan.

Syarikat itu berkata purata petani Malaysia kini berusia dalam 50-an, dan untuk mereka mengguna pakai teknologi ini dijangkakan mencabar.

Pengarah Eksekutif Kumpulan, Kapten Sudhir A K Kumaren percaya generasi muda boleh digalakkan terlibat dalam bidang pertanian dengan melakukan perubahan dan mengguna pakai teknologi baharu untuk menggantikan amalan lama.

"Penggunaan peranti pintar untuk perladangan sebagai contoh, mengawal dron menggunakan tablet dan menerima data pada telefon pintar - menarik kepada belia yang mahir dalam bidang teknikal, teutama di kawasan luar bandar," katanya.

Kumpulan syarikat Kambyan memiliki pusat latihan dan pendidikan yang dikenali sebagai Adroit College dan UAS & Robotics Academy. UAS & Robotics Academy memebri tumpuan kepada latihan operasi dron kepada belia tempatan manakala Adroit College menawarkan kursus teknologi seperti Industri 4.0.

Belia yang mendaftar untuk menjalani kursus latihan di kolej kami dijamin mendapat pekerjaan dalam kumpulan Kambyan selepas tamat belajar memandangkan kami memerlukan 200 pekerja mahir menjelang 2020," kata Sudhir.

Kambyan Network, katanya, berusaha untuk menjadikan pertanian pintar yang berdaya maju secara kewangan untuk petani kecil dan membuka peluang pekerjaan kepada generasi muda negara.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu