Cheng Hoe harap skuad Harimau Malaya terus tampil kecemerlangan [ 2m ago ]

FAMA sasar jualan RM10 juta pada Festival Malaysia 2019 di Singapura

Tarikh kemaskini: 16/07/2019
SINGAPURA, 16 Julai (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menetapkan sasaran jualan sebanyak RM10 juta pada Festival Malaysia 2019 anjurannya di Singapura.

Pengerusinya Ishak Ismail berkata kira-kira 90,000 pelawat dijangka mengunjungi festival empat hari itu yang berlangsung dari 25 hingga 28 Julai di Dewan 6A, Singapore Expo, dekat Changi di sini.

"Kami melihat peningkatan trend dari segi jualan tahun lepas. Kami percaya FAMA boleh mencapai jualan lebih tinggi sebanyak RM10 juta untuk festival berkenaan tahun ini, " katanya kepada pemberita pada majlis pra-pelancaran festival tersebut di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini hari ini.

Tahun lepas, festival itu menempatkan 255 gerai dengan mencatatkan jualan sebanyak RM8.5 juta.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan MegaXpress International Pte Hamzah Abdullah, Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Edzuar Zar Ayob dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Zainol Rahim Zainuddin.

Walaupun hanya terdapat 223 gerai tahun ini, Ishak berkata lebih banyak produk kesihatan industri AgroMas dan berasaskan pertanian serta produk baharu yang lain ditampilkan untuk memacu jualan.

Antara tarikan utama, FAMA akan mempamerkan buah-buahan eksotik dari Sabah dan Sarawak seperti 'tarap' dan buah kristal serta produk Kopiesatu's Kanchong Darat Coffee (KDC).

Gerai di festival itu akan terbahagi kepada tujuh kluster - kecantikan dan fesyen, makanan popular, jenama selebriti, makanan dan buah-buahan, trak makanan, pelancongan dan perkhidmatan dengan penyertaan daripada pelbagai negeri, kementerian dan agensi.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu