Costard and Font seize gold on 1st day world waterski finals [ 19m ago ]

ABB buka pusat operasi digital robotik pertamanya di Malaysia

Tarikh kemaskini: 16/07/2019
KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Syarikat kejuruteraan Switzerland-Sweden, ABB, membuka pusat operasi digital robotik pertamanya di Malaysia, yang akan memberi perkhidmatan kepada industri di Asia Tenggara, Taiwan dan India.

Pusat yang terletak di Subang Jaya, Selangor, itu akan membuka potensi penuh pembuatan digital dan robotik perindustrian di rantau ini.

“Ia akan menawarkan semua faedah ABB Ability, platform digital rentas industri, yang membolehkan pelanggan menyepadukan dan mengumpulkan data mereka secara selamat.

“Selain itu pelanggan dapat menggabungkan data industri lebih besar, menggunakan data raya dan analisis jangkaan, di samping menghasilkan pandangan yang boleh membantu mempertingkat prestasi dan pengeluaran,” menurut ABB dalam kenyataan hari ini.

Kemudahan itu, diuruskan oleh pasukan jurutera berpengalaman, akan memanfaatkan teknologi Industri 4.0, termasuk pengkomputeran awan, analisis data raya dan kesambungan menyeluruh, untuk menyediakan sokongan pemantauan dan teknikal masa sebenar kepada robot ABB di seluruh negara anggota ASEAN, Taiwan dan India.

Naib Presiden (Robotik dan Automasi Diskret) ABB Malaysia Sdn Bhd, Laurent Maillefer berkata perkhidmatan terhubung ABB memantau prestasi dan situasi robot tunggal atau keseluruhan kumpulan robot.

“Pada masa ini, kami memantau lebih 7,000 robot terhubung di lebih 750 kilang di seluruh dunia untuk menyediakan kepintaran boleh dilakukan yang membolehkan pakar perkhidmatan menangani masalah yang menelan kos besar sebelum ia berlaku,” katanya.

Beliau berkata menerusi penggabungan penyelesaian digital terkemuka ABB bersama pengalaman dan kepakaran yang terbukti dalam robotik, pasukan di pusat operasi digital itu akan membantu pengilang besar dan kecil di rantau ini menangani pelbagai cabaran.

Selain itu pasukan juga akan menyokong mereka dalam meningkatkan produktiviti dan keberuntungan, di samping membantu beralih kepada era masa depan pembuatan terhubung baharu, katanya.

Mengulas mengenai pencapaian ABB itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata syarikat tersebut telah mewujudkan pusat operasi digital robotik canggih yang tepat pada masanya ketika Malaysia merupakan negara kuasa pembuatan yang semakin pesat di rantau ini.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu