Sabah capai 90 peratus tahap perkhidmatan ICT [ 21m ago ]

Vortex berkembang ke dalam pasaran tukaran aset digital luar pesisir

Tarikh kemaskini: 16/07/2019
KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- VDex Limited, anak syarikat milik penuh Vortex Consolidated Bhd, VDex Limited telah mendapat kelulusan daripada Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) untuk mengendalikan perniagaan pembrokeran wang luar pesisir di pulau itu.

Kumpulan teknologi maklumat dan pembinaan hartanah itu, yang mula beroperasi dalam pinjaman wang baru-baru ini, berkata ini sejajar dengan langkah strategiknya beralih ke sektor perkhidmatan kewangan dan institusi kewangan.

"Lesen pembrokeran wang itu akan membolehkan syarikat menjalankan urus niaga dalam pasaran tukaran aset digital sebaik sahaja syarikat memenuhi syarat LFSA," kata Vortex (dahulunya SKH Consortium Bhd) dalam kenyataan hari ini.

Pada April, kumpulan itu memperoleh lesen pinjaman wang melalui pengambilalihan Valhalla Holdings Sdn Bhd, yang memiliki 100 peratus syarikat pemberi pinjaman wang berlesen Valhalla Capital Sdn Bhd.

Vortex juga telah menubuhkan Vortex Asset Management Sdn Bhd untuk meneroka perkhidmatan pengurusan aset dalam masa terdekat, katanya.

Pengerusi Vortex, Kamari Zaman Juhari, berkata VDex akan bekerjasama rapat dengan pengawal selia dan bank untuk menyediakan pelanggan dengan perdagangan dan/atau penyimpanan mata wang kripto atau aset digital yang dikawal selia dan dilindungi.

Beliau berkata VDex akan memastikan perniagaannya mencapai potensi penuh dengan memanfaatkan insentif yang disediakan oleh LFSA.

Sementara itu, Vortex juga menyasarkan untuk mengembangkan perkhidmatannya secara berperingkat untuk memasukkan insurans luar pesisir, perbankan pelaburan luar pesisir, pengurusan aset, pinjaman wang, pembrokeran wang luar pesisir dan produk dan perkhidmatan lain yang relevan.

Kumpulan percaya ini adalah platform untuk berusaha ke arah membina institusi kewangan sepenuhnya.

-- BERNAMA














       Berita Utama Terdahulu