Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan menarik bagi China - MIDA [ 14m ago ]

Maxis, SMA jalin usaha sama dalam inisiatif IoT, NB-IoT

Tarikh kemaskini: 17/07/2019
KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Maxis Bhd menandatangani memorandum persefahaman dengan Sarawak Multimedia Authority (SMA) bagi melaksanakan usaha sama dalam Inisiatif Objek Rangkaian Internet (IoT) dan Objek Rangkaian Internet Jalur Sempit (NB-IoT).

Dalam kenyataan. Maxis berkata kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada usaha untuk membangunkan kepakaran dan perkongsian pengalaman serta pengetahuan dalam aplikasi penyelesaian konsep IoT dan NB-IoT, dan pada masa yang sama memperkukuh rantaian perkongsian dalam reka bentuk, pembangunan dan pelaksanaan penyelesaian IoT dan NB-IoT.

Kedua-dua pihak juga akan membangunkan ekosistem kukuh menerusi sokongan penubuhan makmal dan sokongan pakar untuk membangunkan penyelesaian yang mampan dan pintar.

Ketua Pegawai Perniagaan Maxis, Paul McManus berkata penyedia perkhidmatan komunikasi itu menyambut baik usaha SMA dalam membantu memacu agenda ekonomi digital negeri dengan mengiktiraf keperluan mendesak untuk mempercepat teknologi digital dalam kebanyakan industri.

"Maxis terus komited untuk menjadi rakan kongsi padu kerajaan menerusi kepimpinan dalam rangkaian, perkhidmatan digital dan penyelesaian perhubungan. Kami mahu memainkan peranan penting dalam menyampaikan perkhidmatan dan penyelesaian NB-IoT, terutama kepada sektor utama negara seperti pertanian dan pembuatan," katanya.

Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak pula berkata strategi utamanya meliputi usaha sama antara sektor kerajaan dan swasta.

"Dengan memanfaatkan kepakaran rakan-rakan, kami dapat merealisasikan cita-cita kami. Oleh itu, kami gembira dapat bekerjasama dengan rakan-rakan seperti Maxis untuk mencapai matlamat bersama iaitu memanfaatkan potensi teknologi inovatif untuk meningkatkan kehidupan masyarakat," katanya.

Maxis melancarkan perkhidmatan NB-IoT komersil pertama di Malaysia pada April 2019, dengan Kuching menjadi antara pusat pasaran IoT utama melalui pengaktifan rangkaian NB-IoTnya.

Pelancaran ini membolehkan perniagaan menggunakan aplikasi IoT perindustrian untuk membentuk aliran data baharu, yang membolehkan tindakan dengan menyambungkan peranti mudah seperti sensor.

Sementara itu, Maxis terus memperkukuh kehadirannya di Sabah dan Sarawak menerusi pelaburan dan pengembangan rangkaian mudah alih dan rangkaian fiber berkelajuan tinggi, serta titik sentuhan pengagihan dan pelanggan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu