Thai masseuse caught naked during raid [ 6m ago ]

Platform tempahan penginapan jangka pendek kelebihan tidak adil - Low Yat Group

Tarikh kemaskini: 17/07/2019
KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Peraturan ketat dan saksama diperlukan bagi platform tempahan penginapan jangka pendek kerana ia memberikan kelebihan tidak adil kepada pemain hospitaliti tempatan.

Pengarah Eksekutif Low Yat Group, Low Su Ming berkata trend penginapan jangka pendek telah menjejaskan industri kerana mereka ketika ini tidak tertakluk kepada standard perkhidmatan, penyediaan, kualiti dan keselamatan yang perlu dilaksanakan oleh pemain hospitaliti sebagai syarikat berlesen.

“Pasaran ini berbeza dalam banyak segi dalam bilangan hartanah yang disenaraikan dan alasan-alasan bagi pengawalseliaan tetapi ia membuka jalan bagi negara-negara seperti kita untuk memerhati dan membangunkan rangka kerja kawal selia kita sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Bandar raya utama seperti New York, Paris, Tokyo dan yang lain telah membangunkan rangka kerja kawal selia yang ketat termasuk mengehadkan hari menginap, keperluan bagi pemilik untuk berada di premis, keperluan pensijilan kebakaran dan keselamatan dan pengisytiharan cukai bagi penginapan jangka pendek.

Low berkata industri hospitaliti adalah penyumbang utama kepada ekonomi negara, jadi nilainya perlu ditingkatkan di rantau ini terutamanya dari segi nilai hotel kita.

Walaupun pilihan mampu milik akan sentiasa ada, terdapat keperluan untuk mewujudkan pasaran perdana sejajar dengan matlamat negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

“Usaha-usaha ini sekarang terjejas kerana pemain hospitaliti berlesen kini menumpukan kepada mengekalkan hasil mereka dalam persekitaran yang sukar. Kita membuat pelaburan jangka panjang dalam hartanah kita dan nilai dan penarafan adalah berdasarkan kepada kadar hasil yang kita capai.

“Kami menghargai persaingan yang adil dan adanya lebih banyak pilihan dalam pasaran kerana ia menjadikan persekitaran lebih mampan, tetapi ini bukan ruang yang seimbang,” katanya,

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, pemain hospitaliti mempunyai pelbagai pertimbangan apabila menetapkan harga semalam bagi penginapan berlesen.

Bercanggah dengan kepercayaan bahawa harga didorong oleh hanya persepsi jenama, pemain industri, katanya, perlu menimbangkan mengenai lesen, pemasaran, tenaga kerja, kemudahan, perkhidmatan, pengubahsuaian, penyenggaraan, lokasi dan cukai tempatan sebelum mereka boleh menentukan kadar harga untuk semalam.

Beliau berkata pemain hospitaliti juga berdepan persaingan sengit susulan percambahan bilangan pemilik rumah yang menyenaraikan hartanah mereka untuk penginapan jangka pendek tanpa memerlukan lesen dan pensijilan.

“Banyak yang perlu dilakukan dari segi rangka kerja kawal selia. Kita perlu menimbangkan alasan di sebalik penyenaraian tinggi, tempat menarik bagi penginapan jangka pendek, kesan ke atas industri hotel dan perang harga,” kata Low.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu