DTCAM nab LPG dealer for bribery attempt [ 3m ago ]

i-Stone kukuh pada penyenaraiannya di pasaran ACE

Tarikh kemaskini: 17/07/2019
KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Saham syarikat pengeluar mesin automasi khusus, i-Stone Group Bhd yang disenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini kukuh, disokong oleh peningkatan permintaan untuk automasi dan penyesuaian Industri 4.0.

Saham syarikat itu dibuka pada 25 sen, premium sembilan sen berbanding harga terbitannya sebanyak 16 sen sesaham, dengan 732,439 unit diniagakan. Syarikat ini mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM195.4 juta.

Pengarah Urusannya Rebecca Tee Sook Sing berkata syarikat itu melihat perang perdagangan AS-China secara positif dan mengharapkan lebih banyak syarikat memindahkan asas pengeluaran mereka ke Malaysia untuk mengelak kesan berlarutan krisis perdagangan itu.

"Akan ada permintaan yang lebih tinggi untuk produk kami, dan kami optimistik terhadap prospek itu," katanya kepada media selepas penyenaraian saham syarikat itu hari ini.

Hasil kasar daripada tawaran awam permulaan berjumlah RM39.1 juta itu akan digunakan untuk pembangunan produk, pembayaran balik pinjaman bank, pembinaan pusat pembangunan dan reka bentuk di [pusat operasi baharunya di Taman Teknologi Johor, selain pembelian baharu robotik.

"Kami memperuntukkan RM6.8 juta untuk pembangunan pusat reka bentuk dan pembangunan baharu itu. Keupayaan pembuatan kami juga akan dirangsang oleh pengambilalihan mesin-mesin baharu," katanya.

Antara pelanggan utama i-Stone ialah Dyson Group of Companies yang menyumbangkan 65.5 peratus daripada jumlah jualannya, V. S Group of Companies (2.3 peratus) dan ATA Industrial (M) Sdn Bhd (tiga peratus).

Untuk tahun kewangan 2018, 83.6 peratus hasilnya diperoleh daripada automasi pembuatan manakala bakinya untuk produk dan perkhidmatan pelengkap.

Tujuh puluh lapan peratus daripada jumlah pendapatan disumbangkan oleh pasaran tempatan manakala selebihnya dari pasaran eksport.

"Dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, kami akan memberi tumpuan kepada pasaran tempatan bagi menghasilkan produk yang lebih baik untuk pelanggan," katanya.

Mengenai tenaga kerja, Rebecca berkata i-Stone menjalin kerjasama berterusan dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk mendapatkan bakat.

"Kerjasama kami dengan UTM adalah untuk memastikan graduan terlatih mengikut permintaan pasaran terkini. Kami juga memperoleh graduan kejuruteraan untuk bekerja dengan kami sebelum mereka menamatkan pengajian," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu