Persatuan insurans gesa hospital swasta lebih telus mengenai caj rawatan [ 5m ago ]

Lebih 5,000 penyokong JDT sambut kejayaan rangkul juara enam musim

Tarikh kemaskini: 20/07/2019
Pasukan JDT meraikan kejayaan menjulang Piala Liga Super 2019 selepas perlawanan menentang Terengganu FC dengan kesudahan seri 3-3 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin hari ini.
JOHOR BAHRU, 19 Julai (Bernama) -- Kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT ) merangkul kejuaraan Liga Super buat enam musim berturut-turut, disambut meriah lebih 5,000 penyokong yang membanjiri Dataran Bandaraya di sini, malam ini.

Penyokong bersorak ketika pemilik kelab JDT Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, barisan pemain, pegawai serta jurulatih skuad Harimau Selatan itu tiba di dataran berkenaan bersama trofi Liga Super dengan menaiki bas khas tanpa bumbung, tepat pada 12 tengah malam.

Sebelum itu, Tunku Ismail, para pemain, pegawai serta barisan kejurulatihan JDT diarak menaiki bas khas yang melalui Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos-Bomba Larkin-Jalan Tun Abdul Razak-City Square/JBCC- U-turn ke Jalan Wong Ah Fook-Tropical Inn.

Perarakan diteruskan melalui Jalan Trus-U-turn Jalan Ibrahim-Lebuhraya Sultan Iskandar-Hospital Sultanah Aminah dan U turn berhadapan Gerbang Mahkota untuk terus ke Dataran Bandaraya.

Sambutan di dataran berkenaan diadakan selepas tamat aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini, yang menyaksikan JDT sekadar seri 3-3 dengan Terengganu serta majlis penyampaian trofi di stadium berkenaan.

Terdahulu, sambutan di Dataran Bandaraya itu dimeriahkan dengan pelbagai acara sejak 3 petang termasuk cabutan bertuah, J6 Neon Fun Run, ‘football freestyler’ dan penyerahan sijil Malaysia Book of Records (MBOR) oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR Christopher Wong, kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Datuk Ismail Karim atas pencapaian JDT menjuarai Liga Super selama enam kali berturut-turut.

Penonton turut menyaksikan perlawanan JDT menentang Terengganu menerusi dua skrin gergasi di dataran berkenaan dan menyaksikan persembahan penyanyi rap antarabangsa Bow Wow, serta artis tempatan termasuk Joe Flizzow dan Amy Search.

Acara kemuncak sambutan tersebut diserikan dengan pertunjukan bunga api dan persembahan lampu elektronik.

Mengikut rekod, JDT memenangi kejuaraan Liga Super buat pertama kalinya pada tahun 2014 dan tahun lepas, kelab itu turut menerima empat pengiktarafan daripada MBOR iaitu antaranya menjadi pasukan pertama dari rantau Asia Tenggara memenangi Piala AFC pada 2015.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu