Points dropped and Selangor's stuttering Malaysia Cup campaign continues [ 8h ago ]

Keganasan: AS kenakan sekatan ke atas tokoh Hezbollah

Tarikh kemaskini: 20/07/2019
WASHINGTON, 20 Julai (Bernama) -- Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat pada Jumaat berkata Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) telah mengenakan sekatan ke atas seorang tokoh kanan Hezbollah atas dakwaan melakukan keganasan, lapor agensi berita China Xinhua.

Jabatan Perbendaharaan dalam satu kenyataan menyebut bahawa Salman Raouf Salman merupakan anggota kanan Pertubuhan Keselamatan Luar Hezbollah, yang bertanggungjawab merancang, menyelaras dan melaksanakan beberapa siri serangan pengganas.

Salman telah menyelaras serangan dahsyat ke atas sebuah pusat komuniti Yahudi di ibu kota Argentina, Buenos Aires, pada 1994 yang meragut 85 nyawa.

Beliau turut mengarahkan operasi pengganas lain bagi Hezbollah sejak itu, menurut kenyataan tersebut.

"Pentadbiran ini akan terus menyasarkan pengganas Hizballah (Hezbollah) yang merancang operasi pembunuhan yang dahsyat dan membunuh sesiapa sahaja orang awam yang tidak bersalah bagi pihak kumpulan pengganas ini dan penaung Irannya," kata Penolong Setiausaha bagi unit Risikan Pembiayaan dan Keganasan Jabatan Perbendaharaan Sigal Mandelker dalam kenyataan itu.

Akibat sekatan itu, semua harta dan kepentingan dalam harta mereka yang menjadi sasaran adalah tertakluk kepada bidang kuasa AS dan akan disekat manakala rakyat AS pada amnya dilarang melakukan urus niaga dengan mereka, menurut kenyataan tersebut.

Mereka yang terlibat dalam urus niaga dengan individu berdepan sekatan itu mungkin terdedah kepada sekatan atau tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan.

Jabatan Negara AS telah melabel Hezbollah sebagai sebuah kumpulan Pengganas Global yang Diwujudkan Secara Khusus pada Oktober 2001.

-- BERNAMA







       Berita Utama Terdahulu