Entrepreneurship grants only for truly qualified - Mohd Redzuan [ 18m ago ]

UNSC terima pakai resolusi selaras usaha perangi keganasan, jenayah terancang

Tarikh kemaskini: 20/07/2019
NEW YORK, 20 Julai (Bernama) -- Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Jumaat menerima pakai satu resolusi mengenai penyelarasan usaha untuk bertindak balas terhadap hubung kait antara keganasan antarabangsa dan jenayah terancang rentas sempadan, lapor agensi berita China Xinhua.

Resolusi 2482, yang meraih sokongan sebulat suara 15 anggota majlis, menggesa semua pihak mempertingkat penyelarasan usaha di semua peringkat bagi memperkukuh tindak balas global terhadap hubung kait antara keganasan antarabangsa dan jenayah terancang, sama ada domestik atau rentas sempadan, yang merupakan satu cabaran serius dan ancaman kepada keselamatan antarabangsa.

Ia turut menegaskan kepentingan tadbir urus yang baik dan keperluan untuk memerangi rasuah, pengubahan wang haram dan pembiayaan pengganas.

Resolusi itu mengutuk sekeras-kerasnya aliran senjata yang berterusan, termasuk senjata api kecil dan ringan, peralatan ketenteraan, sistem pesawat tanpa pemandu kepada dan antara pertubuhan pengganas.

Resolusi itu menzahirkan kebimbangan bahawa pengganas boleh mendapat manfaat daripada jenayah terancang sebagai satu sumber pembiayaan atau sokongan logistik, menerusi penyeludupan senjata api, dadah, artifak dan harta budaya.

Ia turut melahirkan kebimbangan bahawa pengganas mendapat manfaat daripada perdagangan haram dalam sumber asli termasuk emas dan logam serta batu berharga lain, serta hasil aktiviti jenayah termasuk menculik untuk mendapatkan tebusan dan peras ugut.

Ia menggesa negara anggota mempertimbang pewujudan undang-undang dan mekanisme bersesuaian yang membolehkan kerjasama antarabangsa seluas mungkin.

Resolusi itu menggalakkan negara-negara melibatkan komuniti tempatan yang relevan dan badan bukan kerajaan dalam membangunkan strategi bagi mencegah ekstremisme ganas ketika dan apabila kondusif terhadap keganasan serta strategi bagi mengekang jenayah terancang, sama ada domestik atau rentas sempadan.

-- BERNAMA







       Berita Utama Terdahulu