Impairment no barrier for Ipoh Polytechnic grad [ 4m ago ]

Tok Gajah kembali sentuhan ´magis´

Tarikh kemaskini: 21/07/2019
KUANTAN, 21 Julai (Bernama) -- Skuad Tok Gajah kembali menemui sentuhan magis dalam corak permainan apabila membenam Melaka United 4-1 pada perlawanan di Stadium Darul Makmur di sini, semalam.

Ketua Jurulatihnya Dollah Salleh menyifatkan prestasi pasukan yang kembali seperti di awal musim amat melegakanya kerana saingan Piala Malaysia akan bermula tidak lama lagi.

"Dua kemenangan pada Sabtu dan sebelumnya memberikan penutup yang cantik buat kita di penghujung musim Liga Super dan pemain kembali mendapat sentuhan mereka.

"Saya harap Pahang dapat mengekalkan prestasi ini dan jika ia berlaku, sasaran kita untuk merebut Piala Malaysia boleh tercapai," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada perlawanan itu, Pahang memperolehi gol pendahuluan pada minit pertama menerusi Lazarus Kaimbi, diikuti gol kedua daripada Mohamadou Sumareh pada minit ke-40 sebelum Melaka United mencipta jaringan pada minit ke-58 melalui Luka Milunovic.

Pada minit ke-69, Kaimbi sekali lagi meledakkan gol dan Saddil Ramdani menutup tirai jaringan Pahang pada minit ke-89.

Dollah juga mengakui Kaimbi sudah membuktikan keupayaan sebenarnya dengan menghasilkan dua jaringan dalam dua aksi terakhir sebelum ini, walaupun pernah meluahkan tidak selesa untuk bermain sebelum ini.

"Kita terus memberi semangat dan kini dia yang bekerja keras... diharap corak permainannya kekal selain Dickson Nwakaeme juga semakin pulih dapat membantu Pahang mencapai sasaran bergelar juara Piala Malaysia," katanya.

Sementara itu, pengendali Melaka United Zainal Abidin Hassan berkata gol awal yang dihasilkan tuan rumah berjaya mematahkan semangat anak buahnya sehingga melakukan banyak kesilapan sebelum cuba bangkit pada separuh masa kedua.

Katanya, skuad Sang Kancil bermain lebih kemas dan cuba mencipta peluang gol, namun Pahang bijak menggunakan kesilapan mereka untuk mendera pasukannya dengan lebih banyak jaringan.

— BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu