Malaysia wants to boost collaboration in book industry with China [ 1m ago ]

Kerajaan Sarawak akan terus sokong penganjuran BCF

Tarikh kemaskini: 21/07/2019
SIBU, 21 Julai (Bernama) – Kerajaan Sarawak akan terus memberi sokongan kepada penganjuran Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) untuk menarik kehadiran lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara pada masa akan datang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sejak 15 tahun lalu pesta tersebut bukan setakat telah meletakkan Sibu dalam peta pelancongan antarabangsa malah Sarawak secara keseluruhannya serta menjana pendapatan kepada rakyat.

BCF juga telah memainkan peranan penting di dalam sosialiasi antara peserta-peserta yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama serta merupakan wadah untuk mempelajari dan memperkayakan kepelbagaian budaya.

“BCF sekarang telah berkembang menjadi jenama pelancongan korporat dari Sibu dan wilayah tengah Sarawak,”katanya dalam ucapan merasmikan BCF ke-15 di Dataran Tun Tuanku Bujang malam tadi.

Teks ucapan beliau telah disampaikan oleh Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, Dr.Annuar Rapa’ee.

Pesta tahunan anjuran Majlis Perbandaran Sibu (SMC) itu yang berlangsung dari 18 hingga 27 Julai di Dataran Tun Tuanku Bujang mengetengahkan persembahan-persembahan kebudayaan dan kesenian, permainan tradisional serta makanan masyarakat pelbagai kaum negeri Sarawak.

Bresempena dengan pesta itu, SMC akan menganjurkan Festival Tarian Antarabangsa Sibu bagi memberi peluang kepada generasi muda di negeri ini belajar menghargai dan menikmati kepelbagaian budaya di Sarawak.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu