Getha sasar pertumbuhan e-dagang tiga angka di platform dalam talian [ 6m ago ]

Sultan, Tengku Permaisuri Selangor berangkat ke program tanam pokok

Tarikh kemaskini: 21/07/2019
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melihat pokok Orkid semasa menyempurnakan Program Tanam Pokok Dalam Bandar Negeri Selangor Tahun 2019 di Lingkaran Cyberpoint Barat hari ini.Turut mengiringi baginda Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (kiri).
CYBERJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan berangkat ke Program Tanam Pokok Dalam Bandar Negeri Selangor 2019 di sini.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris.

Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin menanam pokok ‘Swietenia Macrophylla’ atau dikenali sebagai pokok Tunjuk Langit manakala Tengku Permaisuri Selangor menanam pokok ‘Delonix Regia’ atau dikenali sebagai pokok Semarak Api.

Sementara Raja Muda Selangor menanam pokok ‘Caesalpinia Sappan’ atau juga dikenali sebagai pokok Sepang.

Menteri Besar, Amirudin Shari dalam ucapannya berkata, 1,500 pokok teduhan dan 3,000 pokok renek akan ditanam melalui penyertaan 2,000 peserta terdiri daripada penjawat awam, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pelajar sekolah serta badan bukan kerajaan.

Keluasan kawasan penanaman pokok itu ialah 58, 669 meter persegi (14 ekar) dan terbahagi kepada dua plot tanaman.

Plot A (plot vvip) menempatkan 500 pokok teduhan dengan keluasan 31,523 meter persegi dan Plot B (plot peserta) sebanyak 1,000 pokok teduhan seluas 27,146 meter persegi, katanya lagi.

“Selaras dengan konsep pengindahan taman dalam bandar, kawasan penanaman pokok pada hari ini juga dicadangkan sebagai Cyberjaya Central Park.

Ia akan menjadi kawasan hijau dan berkonsep taman di dalam bandar yang mampu menjadi tumpuan serta ‘focus point’ dalam pembanguan di Cyberjaya khususnya,” tambah Amirudin.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu