Felda dalam proses nilai kerosakan akibat banjir di Kelantan [ 44m ago ]

Syed Saddiq umum bertanding Ketua Armada

Tarikh kemaskini: 21/07/2019
BUKIT MERTAJAM, 21 Julai (Bernama) -- Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua Armada pada pemilihan parti yang akan diadakan pada tahun ini.

Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata beliau meraikan budaya demokarasi dalam parti seperti yang disarankan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya akan bertanding dan meraikan budaya demokrasi dalam parti seperti disarankan Tun Mahathir. Kita juga tidak boleh tutup pintu pertandingan kepada sesiapa sahaja yang mahu bertanding pada pemilihan Bersatu.

"Kita juga perlu raikan mereka (yang bertanding) kerana fokus utama Armada merupakan teras dan tulang belakang kepada Bersatu serta kami (Armada) juga perlu pastikan ia berkembang dengan budaya politik yang sihat di seluruh negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program FitMalaysia Zon Utara yang diadakan di Kompleks Sukan dan Rekreasi Majlis Perbandaraan Seberang Perai (MPSP), di sini.

Semalam, Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri dilaporkan berkata terdapat kemungkinan pemilihan jawatan dalam parti Bersatu, yang akan diadakan buat kali pertama, akan berlangsung tahun ini.

Katanya parti Bersatu belum menetapkan tarikh, bagaimanapun pihaknya berharap dapat mengadakannya tahun ini.

-- BERNAMA
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman



       Berita Utama Terdahulu