EKONOMI

KEMENTERIAN OPTIMIS EKSPORT INDUSTRI KOKO CAPAI SASARAN RM6 BILION

22/07/2019 11:23 AM

SERDANG, 22 Julai (Bernama) -- Kementerian Industri Utama optimis industri koko dapat mencapai sasaran RM6 bilion untuk pendapatan eksport negara menjelang 2020 seperti termaktub dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Sehingga tahun 2018, eksport industri koko telah berjaya mencecah RM5.55 bilion.

Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Tan Yew Chong berkata peningkatan jumlah sumbangan sektor itu kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.6 peratus pada 2018 berbanding 2017 dilihat sebagai petanda positif ke arah merealisasikan matlamat tersebut.

Katanya koko merupakan komoditi berpotensi besar untuk dibangunkan menerusi pelaksanaan model perniagaan yang tepat, aktiviti pengkomersialan yang baik dan memperbanyak aktiviti hiliran.

"Sektor koko secara khususnya telah menyumbang sebanyak RM5.55 bilion kepada pendapatan eksport negara pada 2018 dan menyumbang sebanyak RM1.44 bilion atau 0.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara.

"Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 4.6 peratus berbanding RM1.38 bilion pada tahun sebelumnya," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Pengkomersialan Hasil Penyelidikan Lembaga Koko Malaysia, 'Innovation to Market' (I2M), di Pusat Teknologi UPM-MTDC di sini, semalam.

Program empat hari itu adalah siri pertama daripada tujuh siri yang dirancang dalam tempoh enam bulan bagi menyampaikan pengetahuan dan kemahiran mengenai proses pemindahan teknologi serta pengkomersialan khusus kepada penyelidik Lembaga Koko Malaysia (LKM).

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Datuk Norhalim Yunus.

Mengulas lanjut, Dr Tan berkata berdasarkan prestasi industri koko yang amat memberangsangkan, ia kini dilihat sebagai komoditi berpotensi besar untuk dibangunkan, terutamanya untuk pasaran eksport.

Bagaimanapun, katanya sektor itu masih memerlukan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan bagi mempersiapkannya untuk persaingan di peringkat global

"Kita tidak boleh hanya menumpukan kepada pasaran tempatan sahaja tetapi berusaha untuk ke pasaran global. Pelbagai pendekatan boleh digunakan termasuk menggunakan konsep pemasaran digital.

"Nilai eksport coklat pada lima tahun dahulu berjumlah RM500 juta dan ia telah meningkat sehingga RM1 bilion pada tahun lalu. Oleh itu, selain penanaman komoditi sawit, kita mungkin boleh kembali kepada penanaman koko yang turut menyumbang kepada sumber pendapatan yang baik," katanya.

Dalam pada itu, Dr Tan berkata dianggarkan 20 hingga 30 teknologi atau produk akan dikomersialkan bagi menyokong sektor huluan dan hiliran industri koko.

"LKM setakat ini sudah menjalankan sebanyak 89 projek penyelidikan sejak Rancangan Malaysia Kelapan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM54.4 juta.

"Berikutan itu sebanyak 19 produk dan teknologi LKM telah dikomersialkan, malah agensi itu turut mengenal pasti 63 produk hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) seperti produk kosmetik, penjagaan diri dan makanan berpotensi untuk dikomersialkan," katanya.

Sementara itu, Norhalim berkata produk koko Malaysia bukan hanya dipasarkan dalam negara tetapi kini mula menembusi pasaran antarabangsa seperti Maghribi.

"Dengan kerjasama daripada penyelidik dan usahawan, kami kini meninjau peluang pasaran luar negara yang baharu terutama di ASEAN dan negara Oceania.

"Kita sememangnya sudah memiliki produk dan kita yakin dari segi teknologinya sudah mencapai tahap yang dimahukan. Apa yang penting sekarang ini kita mahukan kerjasama dengan usahawan untuk mengkomersial dan memasarkan produk berkenaan," katanya.

Seramai 26 peserta yang terdiri daripada pegawai penyelidik dan pegawai pemasaran LKM menyertai siri pertama program anjuran MTDC itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan