SPRM menyahbeku dua akaun saham milik Arul Kanda [ 2m ago ]

MSN tunggu laporan rasmi PSM berhubung pengguguran dua atlet negara

Tarikh kemaskini: 24/07/2019
KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) masih menunggu laporan bertulis daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berhubung pengguguran dua atlet sepak takraw negara daripada skuad kebangsaan.

Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin berkata, pihaknya perlu mendapatkan laporan berkenaan daripada PSM mengenai punca badan induk itu menyingkirkan Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Abdul Razak daripada skuad negara, baru-baru ini.

“Kita masih menunggu laporan rasmi daripada PSM selepas Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengadakan pertemuan dengan wakil PSM dan juga dua atlet berkenaan di ibu pejabat MSN, Bukit Jalil, baru-baru ini.

“Memandangkan dua atlet berkenaan di bawah Program Podium, kita meminta PSM menghantar laporan bertulis sebelum kita boleh mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Sementara itu, Jefri memaklumkan PSM mempunyai hak untuk melarang dua atlet berkenaan menyertai mana-mana pertandingan tempatan termasuk Kejohanan Sepak Takraw Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (Maksak) di Terengganu yang berlangsung selama empat hari bermula esok.

Beliau berkata MSN tidak boleh menghalang keputusan tersebut kerana ia boleh dianggap mencampuri urusan dalaman persatuan sukan kebangsaan di negara ini.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan bahawa PSM melarang Mohd Syahir dan Zulkifli daripada menyertai Maksak 2019 setelah mereka digugurkan daripada skuad kebangsaan oleh PSM, baru-baru ini.

Larangan tersebut dikeluarkan oleh PSM menerusi sepucuk surat yang dikatakan tular di laman sosial.

PSM sebelum ini mengambil tindakan drastik dengan menyingkirkan dua atlet berkenaan atas alasan disiplin, selain melarang mereka daripada menyertai sebarang kejohanan tempatan.

Mohd Syahir merupakan kakitangan Majlis Amanah Rakyat (Mara), manakala Zulkifli bekerja dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu