EKONOMI

MESTECC MAHU INSENTIF CUKAI UNTUK PELABURAN DALAM VC DIWARTAKAN TAHUN INI

26/07/2019 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama)  -- Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) berharap pengecualian cukai pendapatan sebanyak RM20 juta untuk pelaburan modal teroka (VC), dana VC yang dicadangkan dalam Belanjawan 2018, diwartakan hujung tahun ini.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata kementerian itu bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MoF) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk menyerahkan cadangan itu kepada Kabinet dalam tempoh dua minggu.

Beliau berkata cadangan itu diluluskan oleh Kementerian Kewangan, dan akan dilaksanakan oleh SC sebaik sahaja diluluskan oleh Kabinet.

VC dan dana VC  diletakkan di bawah SC.

"Dengan adanya perwartaan itu, syarikat korporat dan swasta yang melabur dalam instrumen ini, akan mendapat insentif cukai selepas tiga tahun, dan bukan selepas keluar dari pelaburan," katanya dalam ucaptama pada Persidangan Modal Teroka dan Ekuiti Swasta Asia Tenggarai 2019,  di sini hari ini.

Beliau juga berkata syarikat VC (dana) yang boleh menawarkan insentif itu, perlu berdaftar dengan SC pada 31 Dis, 2019.

"Insentif ini bolah dituntut bagi pelaburan yang dibuat sehingga 2023, dengan tempoh insentif bermula pada tahap pertama pensijilan, oleh SC," katanya.

Sementara itu, Yeo berkata kementerian itu sedang melalui penstrukturan semula, menyediakan kertas Kabinet yang akan dibentangkan pada masa yang sama mengenai penyusunan semula dan penyatuan lima agensi di bawahnya.

Agensi-agensi itu ialah Cradle Fund Sdn Bhd, Malaysia Debt Ventures Bhd, Malaysia Venture Capital Management Berhad (Mavcap), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Kumpulan Modal Perdana Sdn Bhd.

"Memandangkan terdapat beberapa pertindihan fungsi dan peranan agensi-agensi ini, kami mahu menjadikannya lebih berkesan dalam memangkinkan pertumbuhan," kata Yeo.

Beliau bekata pembabitan dengan semua pihak berkaitan, termasuk kementerian lain mengenai perkara itu sudah dilakukan sejak beberapa bulan lepas bagi mendapatkan maklum balas mereka.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan