MED kenal pasti enam syarikat utama baharu Program Pembangunan Vendor [ 6h ago ]

Dua yang hilang di Taman Rekreasi Ulu Bendul ditemui selamat

Tarikh kemaskini: 04/08/2019
KUALA PILAH, 4 Ogos (Bernama) -- Dua orang termasuk seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang di Taman Rekreasi Ulu Bendul dekat sini malam tadi ditemui selamat oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pagi tadi.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Menanti Roslan Sahrani berkata kanak-kanak berusia 10 tahun dan lelaki 36 tahun itu hilang setelah memasuki hutan di kawasan itu dari pukul 4 petang semalam dan ditemui selamat di puncak Bukit Botak pada pukul 1.22 pagi.

"Balai Bomba Seri Menanti menerima panggilan daripada pihak polis memohon bantuan untuk mencari orang hilang di hutan. Berikutan itu, satu operasi untuk mencari mereka dengan bantuan anggota dari Balai Bomba Kuala Pilah telah dilakukan pada pukul 8.30 malam tadi dan mereka ditemui di puncak Bukit Botak pada pukul 1.22 pagi.

"Operasi mencari itu membabitkan 12 anggota bomba, tiga anggota polis, masing-masing empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perhutanan serta lima orang awam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya kerja-kerja membawa turun kedua-dua lelaki itu dilakukan oleh pasukan bomba dan mereka diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk mendapat rawatan.

Katanya operasi itu tamat pada pukul 7.32 pagi tadi.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu