MED kenal pasti enam syarikat utama baharu Program Pembangunan Vendor [ 7h ago ]

Makanan Malaysia pikat hati masyarakat China

Tarikh kemaskini: 04/08/2019
Daripada Amirul Mohd Sajadi

BEIJING, 4 Ogos (Bernama) -- Mempromosikan makanan Malaysia di China merupakan antara usaha yang dijalankan dalam menarik kehadiran lebih ramai pelancong dari negara tembok besar itu untuk melawat Malaysia.

Pengarah Tourism Malaysia di China Zalizam Zakaria berkata keunikan masakan Malaysia merupakan antara kunci utama tarikan buat pelancong China.

“Penduduk China terutamanya di Beijing terbukti amat menggemari masakan Malaysia. Ini berdasarkan kajian yang dibuat oleh pihak kami. Selain tempat menarik untuk dilawati di Malaysia, keunikan makanan yang kaya dengan pelbagai cita rasa menjadi faktor utama kehadiran pelancong China ke Malaysia,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Ketika ini sedang berlangsung Kempen Makanan Malaysia di sini, dengan sate, laksa peranakan, nasi minyak dan durian goreng merupakan antara lebih 30 jenis makanan Malaysia yang disajikan sepanjang kempen selama seminggu itu.

Kempen yang berakhir Khamis depan merupakan sebahagian daripada usaha Hyatt Regency Beijing dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Dewan Perdagangan dan Industri Malaysia di China (Maycham), bagi menyemarakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

“Ternyata makanan Malaysia ada tarikannya yang tersendiri. Justeru, bagi mendapatkan rasa sebenar masakan Malaysia itu, kita membawa dua cef dari ibu negara agar kenikmatan masakan Malaysia itu dapat dirasai,” kata Zalizam.

Beliau berkata inisiatif itu antara usaha mempertingkatkan aktiviti promosi di China untuk mencapai sasaran menarik sekurang-kurangnya tiga juta pelancong setahun dari negara itu tahun hadapan.

TMM2020 menyasarkan ketibaan 30 juta pelancong antarabangsa dengan memberi fokus kepada ekopelancongan, kesenian dan budaya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu