Jabatan Pendidikan NSW Australia mahu tamatkan program pendidikan bahasa Cina [ 36s ago ]

Rapid galak orang ramai guna perkhidmatan 'Foldies on Rapid'

Tarikh kemaskini: 04/08/2019
Muhammad Yazurin Sallij Muhammad Yassin
GEORGE TOWN, 4 Ogos (Bernama) -- Rapid Bus Sdn Bhd hari ini menyeru orang ramai khususnya golongan yang berbasikal untuk menggunakan perkhidmatan 'Foldies on Rapid' sebagai alternatif berbanding memandu kenderaan sendiri bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd Muhammad Yazurin Sallij berkata alternatif yang telah dilancarkan pada Januari lepas itu kurang mendapat sambutan orang awam.

Foldies on Rapid memberi kemudahan kepada pengguna basikal lipat membawa naik pengangkutan itu ke dalam bas Rapid Penang bagi menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam sambil mengamalkan gaya hidup sihat.

"Selain Pulau Pinang, 'Foldies on Rapid' ini juga ada di bandar-bandar lain seperti Kuala Lumpur dan Kuantan, Pahang namun ia tetap kurang mendapat sambutan. Jadi hari ini Rapid bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk 're-run' program ini supaya orang ramai lebih tahu.

“Pulau Pinang menjadi kayu pengukur oleh pihak kami kerana sambutan yang amat menggalakkan daripada pihak kerajaan tempatan yang bersungguh-sungguh membudayakan aktiviti berbasikal di seluruh negeri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Namun begitu, Muhammad Yazurin berkata penunggang basikal diharap agar lebih bersabar dan memberikan peluang untuk orang kurang upaya (OKU) terlebih dahulu sekiranya mahu menggunakan perkhidmatan itu kerana ruang yang disediakan untuk meletakkan basikal perlu dikongsi bersama OKU untuk meletakkan kerusi roda.

Sementara itu, Datuk Bandar MBPP Datuk Yew Tung Seang berkata Rapid kini telah menyediakan sebanyak 230 bas yang mampu dinaiki oleh para penunggang dengan membawa basikal masing-masing. Menurutnya, sebuah bas mampu memuatkan lima hingga 10 basikal lipat.

"Para penunggang perlu peka dengan pelekat yang ditampal di sisi bas yang menunjukkan 'foldable bikes'. Tanpa pelekat ini, para penunggang tidak digalakkan membawa naik basikal itu kerana khuatir akan mengganggu penumpang yang lain," katanya.

Yew pada hari ini turut bersama-sama Muhammad Yazurin, wakil-wakil MBPP, Rapid Sdn Bhd, dan orang ramai menaiki bas di Jalan Mahsuri, Bayan lepas dengan membawa basikal lipat masing-masing. Penumpang kemudiannya turun di hadapan Queensbay Mall dan berbasikal sehingga ke Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu