MED kenal pasti enam syarikat utama baharu Program Pembangunan Vendor [ 6h ago ]

Bomba sukarela Long Kevok cipta sejarah libatkan komuniti Penan

Tarikh kemaskini: 04/08/2019
MIRI, 4 Ogos (Bernama) -- Buat pertama kali dalam sejarah, Persatuan Bomba Sukarela (PBS) yang ditubuhkan di Long Kevok, empat jam perjalanan menggunakan jalan darat dari sini, melibatkan penyertaan komuniti Penan.

Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata PBS Long Kevok yang dipengerusikan Ketua Kampung Long Kevok Lucas Seman adalah PBS yang pertama di Sarawak melibatkan penyertaan kaum Penan dan pada masa sama pertama yang melibatkan masyarakat asli di negara ini.

"PBS Long Kevok akan memberi khidmat kepada kawasan perkampungan Long Kevok, Long Leng, Long Urang, Long Liwok dan Long Nan yang mempunyai jumlah penduduk lebih 1,500 orang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mesyuarat jawatankuasa penaja PBS Long Kevok telah dijalankan baru-baru ini.

Law berkata setakat ini, terdapat 48 PBS di Sarawak dengan Miri mempunyai 11 PBS termasuk PBS Long Kevok yang kini sedang dalam proses pendaftaran.

"Fungsi PBS bertindak sebagai ‘first responder’ sebelum ketibaan pasukan bomba dari bandar dan diwujudkan di seluruh negara di lokasi tiada Balai Bomba dan Penyelamat," katanya sambil menambah anggota PBS bersifat sukarelawan iaitu tiada gaji dan elaun.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu