China's commercial carrier rocket smart dragon-1 makes maiden flight [ 4h ago ]

Fit Malaysia edisi Sabah paling meriah, Sabah model terbaik penyatuan - Syed Saddiq

Tarikh kemaskini: 04/08/2019
TAWAU, 4 Ogos (Bernama) -- Penganjuran Fit Malaysia edisi Sabah adalah paling meriah di Malaysia dengan penyertaan mencecah 20,000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Melihat kepada kesatuan rakyat menyokong program hari ini, Syed Saddiq berkata Sabah boleh menjadi contoh kepada negeri lain untuk konsep 'multiracial' boleh berjaya di Malaysia.

"Sabah boleh jadi contoh kepada Malaysia bahawa kita lihat dalam Fit Malaysia semua disatupadukan kerana sukan.

"Saya harap budaya ini walaupun kita berlainan umur, agama dan bangsa tetapi kita tetap bersatu, kesetiaan kita pada negeri dan negara terus dipupuk," katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Fit Malaysia Edisi Sabah di Padang Bandaran Tawau di sini, hari ini.

Program dua hari yang bermula sejak semalam itu dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata program seumpama Fit Malaysia itu perlu diperbanyakkan penganjurannya kerana acara itu dilihat sebagai landasan kepada penyatuan.

"Sukan adalah satu acara yang tiada sempadan kaum atau agama, dan ianya membolehkan bukan sahaja berinteraksi dengan generasi muda tetapi penting daripada itu kita dapat pupuk nilai-nilai budaya, cintakan negara, cintakan sesama manusia dalam kalangan rakyat di negara ini," katanya.

Katanya, penyertaan tidak kira umur, agama dan bangsa pada Fit Malaysia hari ini, bukti itulah Sabah yang dimahukan tanpa melihat perbezaan atau masalah kaum dan agama menjadi batasan.

"Kita kena belajar daripada banyak kejadian di dunia, sama ada di antara Palestin dan Israel atau Iraq dan Iran, meskipun satu bangsa, satu agama hanya berlainan mazhab sanggup berbunuhan," katanya.

Mohd Shafie berharap Malaysia merupakan negara yang kaya dengan pelbagai sumber selain memiliki resepi membolehkan Malaysia menjadi sangat berkuasa (super power) dalam pembangunan ekonomi di rantau ini.

Menjelang hari kemerdekaan negara, katanya resepi termasuk semua penduduk negara ini perlu menyemai rasa cinta pada negara dan bangsa, cinta kesihatan serta cinta pada pembangunan dan tidak bergaduh sesama sendiri.

--BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu