Produk Malaysia dapat perhatian dalam kalangan 1.4 bilion pengguna di China [ 7m ago ]

39 pesakit cedera akibat ribut terima rawatan di hospital kerajaan seluruh Kedah

Tarikh kemaskini: 10/08/2019
Datuk Dr Norhizan Ismail
ALOR SETAR, 10 Ogos (Bernama) -- Seramai 39 pesakit yang mengalami kecederaan akibat ribut yang melanda beberapa daerah di Kedah malam tadi mendapatkan rawatan di hospital kerajaan seluruh negeri ini setakat ini.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata sebanyak 23 kes pesakit luar dan 16 kes pesakit yang dimasukkan ke wad dicatatkan di enam hospital kerajaan di negeri ini.

"Sebanyak 15 mangsa dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar; lapan mangsa di Hospital Langkawi; lapan mangsa di Hospital Jitra; empat mangsa di Hospital Kulim; dua mangsa di Hospital Yan dan dua di Hospital Sik.

"Pada pukul 5 petang tadi, seramai 23 pesakit luar dan seorang pesakit di wad disahkan stabil dan dibenarkan pulang manakala 15 mangsa yang lain masih dirawat di wad," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, daripada 15 mangsa yang masih ada, hanya seorang di Hospital Langkawi berada dalam keadaan kritikal dan proses memindahkan mangsa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB sedang diusahakan bagi membolehkan rawatan lanjut diberikan kepada pesakit.

Dr Norhizan berkata selain itu, terdapat 2 pesakit luar dirujuk oleh Klinik Kesihatan Air Hitam, Kedah ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kesemua mereka berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang.

"Ribut yang membadai malam tadi juga menyebabkan satu kes kematian di daerah Kubang Pasu melibatkan seorang penunggang motosikal wanita berumur 27 tahun.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Jitra pada jam 9.30 malam. Bedah siasat forensik yang dijalankan mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di kepala," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu