Aksi PKNP FC - PJ City FC malam ini ditunda ke Ahad - MFL [ 2m ago ]

Kesemua enam jenazah terlibat dalam kemalangan maut dituntut keluarga

Tarikh kemaskini: 10/08/2019
MELAKA, 10 Ogos (Bernama) -- Kesemua enam jenazah kemalangan maut yang melibatkan tiga kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (Lebuh AMJ) menghala ke Simpang Ampat, sudah pun dituntut keluarga masing-masing.

Tinjauan Bernama di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka mendapati bahawa waris berkumpul seawal pukul 8.00 pagi bagi menunggu selesai bedah siasat.

Jenazah adik beradik Azahar Ahmad, 57, dan Habibah Ahmad, 62, yang disembahyangkan di Masjid Brisu, Alor Gajah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Pering, Brisu kira-kira pukul 5.30 petang tadi.

Jenazah dua beradik Alia Azahar, 17, dan Alisa ,15, pula dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka pada pukul 6.30 petang untuk dikebumikan di Yong Peng, Johor.

Jenazah Wang Chow Kuang, 51 yang dibawa keluar pada pukul 7.22 malam pula akan dibawa pulang ke rumahnya di Machap Omboo dan akan dikebumikan di pusat pengebumian di kawasan itu, Selasa.

Sementara, jenazah isteri kepada Azhar, Halimahtun Aris Padzil, 24, dibawa keluar pada pukul 7.24 malam dan di bawa ke Kampung Changkat Tin, Perak.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu