TFC gagal manfaat laman sendiri pada aksi suku akhir menentang JDT [ 1h ago ]

Empat kali pertemuan bersama penduduk kampung baru sebelum sesi town hall

Tarikh kemaskini: 10/08/2019
KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Rina Mohd Harun akan mengadakan empat sesi pertemuan bersama penduduk Kampung Baru, bagi membincangkan pelan perancangan dan pembangunan kawasan itu.

Rina berkata pertemuan itu diadakan bagi memberi maklumat dan mendapatkan pencapaian serta persetujuan secara muafakat, sebelum satu sesi ‘town hall’ atau dialog awam oleh Kementerian Wilayah Persekutuan diadakan September ini.

Town hall itu dijangka turut dihadiri wakil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Kampung Baru.

“Sebelum ini saya telah diberi taklimat daripada Perbadanan Kampung Baru berhubung perkara ini, jadi sebelum September, saya mahu antara kita termasuk MPP adakan sesi libat urus lebih awal.

“Kami mahu mereka hadir sesi libat urus awal ini, supaya apabila mereka hadiri sesi town hall nanti, mereka akan dapat gambaran jelas dan tidaklah hadir tanpa maklumat,” katanya selepas menyampaikan sumbangan 18 ekor lembu korban sempena Aidiladha kepada tujuh persatuan penduduk, enam masjid dan lima surau di Parlimen Titiwangsa.

Rina berkata demikian ketika ditanya berhubung perkembangan pelan pembangunan di kawasan segi tiga emas itu.

Menjelas lanjut Rina berkata kebanyakan penduduk melahirkan kebimbangan akan manfaat pembangunan itu kepada penduduk asal.

Katanya rata-rata penduduk mahu bangunan yang dibina di kawasan itu mengekalkan ciri-ciri kemelayuan dan keislaman, serta menjadi tarikan kepada pelancong.

“Bagi saya kalau boleh kawasan ini dijadikan bandar pintar, kerana alang-alang mahu dibangunkan biar ia jadi bandar ikonik,” katanya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu